TIN makanan dan minuman sumbangan badan kemanusiaan ketika perang saudara di Bosnia kini menjadi koleksi berharga.
PAKAIAN kanak-kanak zaman perang turut dipamerkan di Muzium Perang Kanak-Kanak di Bosnia.
Susunan Norlaila Hamima Jamaluddin
laila@hmetro.com.my


Kasut balet, tin makanan dan lakaran lukisan antara objek nostalgia yang dipamerkan di muzium baru di Sarajevo. Jika dilihat, ia bukanlah barangan yang unik tetapi setiap satu menyimpan cerita kehidupan daripada pandangan kanak-kanak semasa Perang Bosnia.

Selama 20 tahun seorang wanita muda Bosnia menyimpan sepucuk surat yang tidak sempat disiapkan. Surat itu ditulis oleh ibunya menceritakan kesedihan dan ketakutannya apabila rumah mereka musnah dalam perang saudara di negara Balkan itu yang berlaku pada 1992 hingga 1995.

Walaupun semuanya barangan yang biasa-biasa, bukan mudah untuk mengumpulkannya, apatah lagi kini ia sudah menjadi ‘khazanah berharga’.

“Anda perlu membina hubungan baik supaya orang yakin dan percaya,” kata pengasas Muzium Perang Kanak-kanak yang baru dibuka itu, Jasenko Halilovic.

Sepanjang tempoh konflik antara etnik di Bosnia itu, kira-kira 3,400 kanak-kanak terkorban termasuk 1,500 di Sarajevo. Tindakan tentera Serbia mengepung bandar Sarajevo selama 44 bulan menambah penderitaan penduduknya.

Sampai hari ini, parut peperangan masih boleh dilihat di Sarajevo. Daripada lubang di dinding bangunan akibat tembakan peluru hinggalah monumen di pusat bandar yang dipahat dengan ratusan nama kanak-kanak yang kehilangan nyawa dalam peperangan itu masih terjaga dengan baik.

Antara nama yang terpahat di monumen itu ialah Aida, gadis berusia 17 tahun. Dia mati akibat terkena serpihan meriam di pintu masuk rumahnya. Dulu, gadis ini suka melukis karakter kartun Disney termasuk Minnie Mouse yang menangis. Lukisan yang menyimpan seribu satu kenangan itu didermakan ke muzium berkenaan oleh kakaknya, Selma.

Sesetengah koleksi yang dipamerkan di muzium itu tidaklah terlalu tragis, tetapi sama pentingnya. Mela Softic contohnya mendermakan kasut balet yang dipakainya untuk menari sebagai usaha ‘melarikan dirinya daripada realiti’.

Apabila dia memakai kasut balet itu dan memainkan muzik klasik, dia berasa dirinya berada dalam dunia lain.

“Ketika itu saya berasakan tidak berada dalam perang di Sarajevo, sebaliknya seperti masuk ke dunia khayalan,” katanya.

Softic yang kini berusia 32 tahun percaya, pembukaan Muzium Perang Kanak-Kanak itu tepat pada masanya dan ia adalah tempat terbaik untuk meletakkan ‘barangan berharga’ yang menemaninya sepanjang peperangan.

KOLEKSI BERMESEJ

Koleksi di muzium baru itu kini mencecah 4,000 barang yang disertakan penerangan pendek mengenainya. Barangan yang dipamerkan itu akan ditukar dari semasa ke semasa supaya pameran kekal ‘segar’, kata pakar antropologi dan ketua penyelidik, Selma Tanovic.

Selain gambar dan diari yang menceritakan drama harian, puluhan barang dipamerkan termasuklah topi yang ditembusi peluru, dapur mudah alih, patung mainan, televisyen dan basikal.

“Niat kami membuka muzium dan mengadakan pameran ini untuk mengurangkan trauma peperangan yang dialami ketika kecil.

“Pada masa sama kami mahu tunjukkan daya ketahanan kanak-kanak berkenaan dan cara mereka mengatasi kesulitan pada masa perang. Semua cerita yang dikongsikan di muzium ini membawa satu mesej - hentikan peperangan,” kata Tanovic.

Filip Andronik yang berusia 11 tahun ketika perang meletus, menjadikan kenangan silamnya yang terpaksa tinggal di kem perlindungan di bawah bangunan sebagai langkah untuk meneruskan kehidupan.

Pada kali pertama keluarganya menerima bantuan makanan dalam tin, dia sudah bertekad menyimpan semua tin itu untuk dijadikan kenangan dan ‘bahan gurauan’ apabila perang tamat.

“Malangnya perang berterusan. Jadi sepanjang tempoh itulah kami menerima bantuan kemanusiaan dan koleksi tin makanan saya bertambah banyak,” kata Andronik yang kini bekerja sebagai pelawak dan penulis komik.

Dia menyerahkan lebih 2,000 barangan terdiri daripada tin bekas makanan dan barangan penjagaan diri.

“Saya dermakan semua koleksi saya kepada Muzium Perang Kanak-Kanak,” katanya.

Sebagai pengasas muzium, Halilovic yang turut membuat kompilasi buku mengenai pengalaman perang kanak-kanak berharap muzium itu boleh dijadikan platform untuk ‘dialog dan perdamaian’ di Bosnia. Ini kerana sehingga kini ada jurang besar yang memisahkan etnik Bosnia Muslim, Croatia dan Serbia.

Buat masa ini, barangan yang dipamerkan di muzium itu sebahagian besarnya disumbangkan oleh penduduk Sarajevo, namun Halilovic juga mahu menampilkan pengalaman golongan muda dari tempat lain yang turut menjadi mangsa perang.

Dia kini mencari objek atau barangan dari kawasan lain seperti Banja Luka di utara dan bandar Mostar di selatan.

“Saya fikir tentu lebih menarik jika kita dapat mendedahkan pengalaman hidup kanak-kanak dari semua bandar, tidak kira di mana pun mereka membesar kerana semuanya turut terkesan dek peperangan,” kata Emina Omanovic yang mendermakan basikalnya.

“Kami berkongsi perkara yang sama semuanya membesar ketika perang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Februari 2017 @ 6:56 AM