PEMAIN Terengganu, Issey Nakajima (kanan) diasak pemain FELCRA, Muhammad Adib Zainudin (kiri) pada perlawanan pusingan kedua Piala FA 2017 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu. FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad
am@hmetro.com.my


Kuala Terengganu: Terengganu terpaksa bermandi peluh sebelum meraih kemenangan dengan menewaskan FELCRA dalam aksi pusingan kedua saingan Piala FA di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini, hari ini.

Kapten pasukan Abdul Latiff Suhaimi meledak jaringan tunggal Terengganu yang beraksi sebagai pasukan pelawat.

Dalam aksi itu, skuad Penyu memperolehi peluang seawal minit pertama perlawanan menerusi sepakan deras pemain import Issey Nakajima Farran tetapi sedikit melepasi palang gol.

Sembilan minit kemudian Issey Nakajima sekali lagi mencemaskan kubu tuan rumah dengan melepaskan rembatan leret dari luar kotak penalti tetapi diselamatkan penjaga gol lawan, Muhd Syamin Othman.

Skuad tuan rumah yang dilihat banyak bertahan sesekali mengasak pintu gol pelawat namun kekentalan benteng yang diketuai pemain import, Lazaro Vinicius menggagalkan setiap gerakan.

Terengganu yang dilihat terdesak untuk memburu jaringan memasukkan penyerang Muhd Amirul Syahmi Ashari pada minit ke-38 menggantikan Mohd Ezaidy Mohd Khadar tetapi masih buntu untuk meledak jaringan hingga berakhir babak pertama.

Bersambung babak kedua skuad Penyu memperkemaskan asakan dan hasilnya Abdul Latiff berjaya meledak gol menerusi rembatan kencang dalam kotak penalti pada minit ke-55.

Selepas jaringan itu skuad Terengganu semakin bernafsu dan nyaris menambah gol kedua menerusi pemain gantian Mohd Faiz Mohd Nasir pada minit ke-76 namun ditepis keluar penjaga gol.

Tiga minit sebelum berakhir perlawanan penyerang Terengganu, Muhd Amirul Syahmi melepas peluang keemasan untuk menambah jaringan kedua walaupun hanya berdepan dengan penjaga gol.

Keputusan itu kekal hingga ke wisel penamat perlawanan dengan Terengganu menang dengan satu gol.

FOTO Ghazali Kori

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Februari 2017 @ 11:16 PM