(Gambar kecil) Mangsa yang parah dibawa ke Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut dan pasport Hoang Van Chuyen. FOTO Mohd Adam Arinin
Junaidi Ladjana
junaidi_ladjana@hmetro.com.my

Email:

Kota Kinabalu: Seorang kru kapal kargo maut manakala tiga lagi cedera akibat kebocoran gas dari tempat simpanan beras ke bilik kawalan enjin di luar perairan Kota Kinabalu, tengah hari tadi.

Mangsa warga Vietnam iaitu Hong Van Chuyen, 34, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE) manakala tiga lagi yang juga warga Vietnam dilaporkan stabil.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah Khairul Azwan Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 2.34 petang dari Pelabuhan Kota Kinabalu yang memerlukan bantuan menyelamat mangsa terhidu bahan kimia.

"Kapal kargo muatan beras Vimaru Pearl dinaiki 21 warga Vietnam termasuk kapten kapal dari Vietnam menuju Filipina dipercayai mengalami kebocoran gas.

"Sebaik kapal kargo itu berlabuh di Jeti Pelabuhan Kota Kinabalu pada jam 6.30 petang tadi, anggota bomba kemudian menjalankan kerja-kerja menyelamat mangsa yang dipercayai terhidu bahan kimia," katanya ketika ditemui, di sini, sebentar tadi.

Menurutnya, semua mangsa kemudian dihantar ke HQE untuk rawatan lanjut, manakala yang lain tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Namun disahkan seorang maut manakala tiga lagi mangsa yang sebelum ini cedera kini dilaporkan stabil," katanya.

Operasi menyelamat membabitkan 35 anggota bomba termasuk Pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Lintas dan Penampang.

Difahamkan, 17 kru kapal termasuk kapten dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Februari 2017 @ 9:05 PM