Reaksi Adele pada Anugerah Grammy di Los Angeles hari ini. FOTO AP
Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my


Los Angeles: Adele menang besar tetapi persembahannya terhenti separuh jalan kerana sebak ketika membuat ‘tribute’ kepada mendiang penyanyi George Michael pada Anugerah Grammy ke-59 di Staples Center, Amerika Syarikat, hari ini.

Malah penyanyi berusia 28 tahun itu meminta maaf kepada hadirin dan meminta untuk menyanyikan semula lagu Fast Love dengan berkata:”I am sorry I am starting again” sambil menenangkan dirinya di atas pentas sambil mengenggam jari jemari.

Jelas sekali anugerah Grammy bukanlah pilihan utama kerana itu adalah pengalaman keduanya membuat persembahan yang terpaksa diulang semula dan meminta maaf kepada penonton.

Bagaimanapun Adele meneruskan persembahan selepas mendapat kata kata perangsang daripada penyanyi Rihanna dan Jennifer Lopez.

Anugerah itu menyaksikan penyanyi Britain itu membolot lima kategori dengan tiga daripadanya tiga kategori utama iaitu Album Terbaik, Rakaman Terbaik dan Lagu Terbaik menerusi album 25 dan lagu Hello.

Selain itu, Adele turut menang kategori Album Vokal Pop terbaik dan Persembahan Solo Pop Terbaik.

Adele menerusi ucapannya mengucapkan terima kasih kepada Beyonce yang menjadi inspirasinya selama ini.

"Terima kasih Beyonce kerana andalah saya sentiasa mahu maju ke depan. Album anda Lemonade sangat luar biasa dan menunjukkan sisi berbeza yang kami tidak pernah lihat pada anda," katanya sewaktu diumumkan menang Album Terbaik.

Sementara itu, Beyonce yang mendapat pencalonan terbanyak turut unggul apabila membawa pulang trofi Video Muzik Terbaik dan Album Kontemporari Urban Terbaik menerusi album Lemonade.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Februari 2017 @ 2:21 PM