Lokasi operasi SAR di perairan Sabah yang masuk hari ke-17, hari ini. FOTO ihsan APMM
Mohd Ruzaini Zulkepli
hmkk@hmetro.com.my


Kota Kinabalu: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sabah masih mengekalkan usaha pencarian lima mangsa bot karam di Pulau Mengalum, dekat sini, yang masuk hari ke-17, hari ini, membabitkan keluasan 300 batu nautika di perairan Sabah, Sarawak dan Brunei.

Pengarah Maritim Wilayah Sabah dan Labuan Laksamana Pertama Maritim Mohd Zubil Mat Som berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih giat dijalankan meskipun setakat ini, tiada sebarang petunjuk baru ditemui.

Beliau berkata, untuk operasi hari ini, jarak keluasan masih kekal sama membabitkan sembilan aset APMM, Pasukan Polis Marin (PPM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan pasukan keselamatan dari Brunei.

"Setakat pagi ini, tiada sebarang petunjuk baru yang dilaporkan namun operasi SAR akan diteruskan sehingga mendapat arahan daripada pihak atasan.

"Untuk rekod, pada pagi ini situasi di sektor pencarian adalah baik dengan cuaca cerah dan kita berharap ia akan membantu usaha pencarian nanti," katanya di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Februari 2017 @ 1:46 PM