Muhamad Izzat Nasuruden
am@hmetro.com.my


Ipoh: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjangkakan jumlah kes denggi di seluruh negara akan meningkat pada Julai dan Ogos ini disebabkan perubahan virus denggi.

Menterinya, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, perubahan itu berlaku kerana beberapa faktor seperti keadaan kawasan persekitaran dan perubahan cuaca.

Katanya, berdasarkan laporan pada 2016, semua kes denggi membabitkan virus jenis Denggi 2 (D2) namun pada penghujung tahun, terdapat banyak kes virus jenis Denggi 1 (D1).

"Bagi orang awam yang pernah diserang demam denggi, ini tidak bermakna mereka akan terhindar untuk diserang virus D1 kerana badan mereka masih belum imun terhadap virus ini.

"Terdapat empat jenis virus iaitu D1, D2, D3 dan D4. Jika sudah terkena salah satu daripada virus ini, orang awam masih berisiko untuk terkena tiga lagi virus denggi dalam hidup mereka," katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan ke Klinik Kesihatan Buntong, di sini, hari ini.

Dr Subramaniam berkata, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan agensi lain untuk memastikan pencegahan denggi dilakukan daripada peringkat awal.

Katanya, orang awam juga perlu memastikan kawasan sekitar rumah mereka bebas daripada menjadi tempat pembiakan nyamuk denggi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Februari 2017 @ 12:58 PM