Alimi (kiri) dipenjara 10 tahun dan empat sebat.
Muhamaad Razis Ismail
razis@hmetro.com.my

Kota Bharu: Seorang pekerja kilang dipenjara 10 tahun dan empat sebatan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku merompak peniaga makanan dengan menggunakan pedang, tahun lalu.

Hakim Nazri Ismail menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Alimi Faisa Yaakob, 47, mengaku salah terhadap pertuduhan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama dua lagi yang sudah dituduh didakwa melakukan rompakan berkumpulan menggunakan pedang terhadap Muhammad Nor Aizaq Rosli, 24 dan melarikan kereta jenis Honda Civic bernilai RM70,000 dan telefon bimbit jenis iPhone bernilai RM3,000.

Kesalahan dilakukan di sebuah restoran di Taman Merbau Utama, Selising, Pasir Puteh pada 6.30 pagi, 27 April 2016.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang memperuntukkan hukuman boleh sampai 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Norazlinawati Mohd Arshad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Februari 2017 @ 4:36 PM