Anggota bomba menyelamatkan mangsa kemalangan. FOTO ihsan bomba
Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my


Rawang: Seorang wanita maut manakala lapan cedera dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Jalan Rawang-Batu Arang berdekatan Plaza Tol Rawang , di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 7.52 pagi itu, Proton Persona dipandu seorang lelaki masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah Proton Saga.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Ali Ahmad berkata, wanita berusia 28 tahun yang maut itu ialah penumpang Proton Saga manakala tujuh lagi penumpang termasuk lima kanak-kanak dalam kereta sama cedera.

Beliau berkata, pemandu Proton Persona turut mengalami kecederaan dan semua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk menerima rawatan.

"Polis meminta saksi kejadian tampil ke balai polis berdekatan bagi membantu siasatan berhubung kemalangan berkenaan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Februari 2017 @ 2:27 PM