Sektor pencarian lima mangsa bot karam di perairan Sabah yang masuk hari ke-16.
Junaidi Ladjana dan Mohd Ruzaini Zulkepli
am@hmetro.com.my


Kota Kinabalu: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sabah masih giat menjalankan usaha mencari lima mangsa bot karam di Pulau Mengalum yang hilang sejak 28 Januari lalu membabitkan sektor pencarian 300 batu nautika persegi, hari ini.

Pengarah APMM Wilayah Sabah dan Labuan Laksamana Pertama Maritim Mohd Zubil Mat Som berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) lima mangsa itu memasuki hari ke-16 di perairan Sabah, Sarawak dan Brunei Darussalam.

"Setakat ini, kita masih belum menerima maklumat mengenai sebarang petunjuk baru namun usaha SAR berkenaan masih diteruskan dari semasa ke semasa.

"Operasi SAR yang masuk hari ke-16 ini membabitkan sembilan aset di sektor pencarian seluas 300 batu nautika persegi di perairan Sabah, Sarawak dan Brunei Darussalam," katanya, di sini, hari ini.

Dalam kejadian 28 Januari lalu, bot pelancong jenis katamaran yang membawa 28 pelancong warga China dan tiga kru bot karam di perairan Pulau Mengalum.

Sementara itu, mengulas operasi SAR bot karam di pantai Batu Payung, Tawau, Zubil berkata, APMM Sabah masih mengekalkan lokasi pencarian membabitkan 77 batu nautika persegi di perairan berkenaan.

"Dua mangsa warga Indonesia yang masih belum ditemui ialah Joko Rahman, 35, dan seorang kanak-kanak perempuan berusia enam bulan.

"Dua mangsa yang ditemui di perairan Indonesia, 10 Februari lalu, masing-masing sudah dikebumikan di tanah perkuburan Islamiah di daerah Tawau semalam," katanya.

Dalam kejadian jam 6 petang, 7 Februari lalu, bot dinaiki 15 orang karam dipukul ombak ketika dalam perjalanan dari Kampung Batu Payung menuju Sungai Nyamuk, Indonesia.

Dua penumpang ditemui selamat sehari kemudian manakala tujuh mayat ditemui di perairan Indonesia, Jumaat lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Februari 2017 @ 11:40 AM