Kuala Terengganu: Pengendali Irfan Bakti Abu Salim menyifatkan masih terlalu awal untuk menentukan status Terengganu musim ini meskipun sudah meraih tiga kemenangan berturut-turut.

Sebaliknya, beliau menggesa pemain skuad Penyu itu bekerja lebih keras kerana menganggap perjalanan liga masih panjang.

Begitupun, jurulatih berusia 66 tahun itu tetap berbangga dengan prestasi anak buahnya selepas menumpaskan Kuantan FA 2-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS) kelmarin.

Terengganu kini berada di tangga kedua liga hasil sembilan mata, memperoleh gol menerusi pemain import Issey Nakajima Farran (kanan) dan Abdul Latiff Suhaimi.

Bagaimanapun penyerang utama Federico Matias Falcone menghadapi kecederaan hamstring.

Mengulas lanjut Irfan turut bangga dengan prestasi pemainnya yang semakin meningkat.

“Sebagai contoh prestasi Issey Nakajima menunjukkan peningkatan biarpun terlepas beberapa peluang. Malah, penjaga gol muda Amierul Hakimi Awang juga membanggakan.

“Jadi saya harap momentum ini dapat diteruskan,” katanya.

Terengganu akan bertemu FELCRA FC di SSINS untuk aksi pusingan kedua Piala FA, esok.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Februari 2017 @ 5:03 AM