Penyerang Melaka United, Jeon Woo Young (tengah) diasak pemain T-Team FC ketika saingan Liga Super 2017 di Stadium Hang Jebat, Krubong, Melaka. FOTO Khairunisah Lokman
Nazri Abu Bakar
am@hmetro.com.my


Melaka: Melaka United (MU) gagal mengambil kesempatan beraksi di gelanggang sendiri selepas tewas 2-1 kepada T Team pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput malam ini.

Selepas sekadar seri 1-1 bertemu Selangor dan tewas 3-2 di tangan Perak minggu lalu, skuad bimbingan Eric Williams gagal bangkit pada perlawanan ketiga malam ini walaupun memiliki banyak peluang.

Sebaliknya pelawat tidak tidak menunggu lama untuk melakukan percubaan ke arah gawang tuan rumah seawal minit ke-2 menerusi rembatan Fakhrurazi Musa yng sedikit tersasar ke kanan gol MU.

Dua gol kemenangan T Team hadir minit ke-5 dan ke 15 menerusi penyudahan cantik Mahamadou Samassa dan Farhod Tadjiev mengejutkan barisan skuad bimbingan Eric Williams.

Manakala tuan rumah juga memiliki peluang menghasilkan jaringan menerusi import Korea Selatan, Jeon Woo Young pada minit ke-8 namun berjaya ditepis penjaga gol Muhamad Izzuddin Hussin dan Ilja Spasojevic minit ke-20 tinggi melepasi palang gol pelawat.

Pemain kebangsan Amri Yahyah juga hampir menghadiahkan jaringan pada minit- ke 38 tetapi sedikit tersasar ke kanan gawang lawan begitu juga Spaso seminit kemudian namun juga gagal.

Bagaimanapun T Team juga seharusnya mampu merobek gawang MU untuk menghadiahkan jaringan ketiganya menerusi Samassa pada minit ke-44 namun percubaan gagal membuahkan hasil.

Jaringan semangat MU akhirnya tercipta pada minit ke-48 menerusi ledakan Jeon Woo Young yang merembat kencang dari luar kotak penalti untuk merapatkan jurang jaringan.

Kekalahan kedua kali berturut-turut itu menunjukkan kerapuhan pertahanan MU dan ketumpulan jentera serangan yang seharusnya lebih dipertingkatkan menjelang saingan Piala FA berdepan PKNS Selasa depan di gelanggang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Februari 2017 @ 11:17 PM