FOTO Khaisunisah Lokman
Norrizah Baharudin
am@hmetro.com.my


Melaka: Tujuh banduan prabebas berketurunan Cina terharu selepas diberi peluang berjumpa ahli keluarga masing-masing, hari ini.

Peluang itu diberikan pada Majlis Jalinan Kasih Tahun Baru Cina di Penjara Pra Bebas Dusun Datuk Murad, Melaka Tengah.

Banduan mahu dikenali sebagai Jason Lee, 36, (bukan nama sebenar) yang menjalani hukuman penjara atas kesalahan rasuah selama dua tahun berasa bertuah diberi kesempatan itu.

Malah, dia dia sebak selepas melihat ibunya menitiskan air mata.

"Apa yang berlaku memberikan kesan kepada saya apabila dipenjara atas tuduhan rasuah RM20,000.

“Sebelum, ini saya tidak hiraukan keluarga, hanyut dan gembira dengan kehidupan. Namun, hanya keluarga banyak ambil tahu masalah saya ketika orang lain tidak peduli.

“Sepanjang dalam penjara barulah saya sedar betapa kuatnya kasih sayang keluarga kepada saya walaupun mereka menanggung malu atas apa yang berlaku," katanya.

Anak bongsu dari dua adik-beradik itu, berkata dia tidak sabar untuk menghabiskan masa bersama keluarganya selepas dibebaskan, hujung Ogos depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Februari 2017 @ 6:20 PM