CHAPS bawa aliran fesyen berpaksikan keyakinan, semangat dan terkini.
Yusliza Yakimir Abdul Talib
yusliza@hmetro.com.my


Arena fesyen tanah air dan popularitinya sememangnya sentiasa mendapat tempat istimewa di hati peminat. Hari ini, fesyen bukan saja tertumpu pada tema khusus malah menembusi definisi yang lebih luas, sesuai dengan cita rasa dan personaliti setiap individu.

Fesyen bukan lagi sekadar busana, malah ia kini sebagai lambang kepada ekspresi diri.

Luen Thai Holdings Limited melebarkan portfolio perniagaan menerusi Chaps, jenama oleh ikon fesyen Ralp­h Lauren. Dilancarkan pada 1978, jenama itu terkenal dengan gaya klasik Amerika yang sinonim dengan elemen kebebasan, keunggulan rekaan dan kesempurnaan kualiti.

Tampil dengan koleksi lengkap untuk lelaki dan wanita, jenama itu mempu­nyai busana yang merangkumi pakaian sukan kasual dengan sentuhan ringkas namun teliti, rekaan unik yang mencabar definisi fesyen, hinggalah kepada rekaan anggun dan elegan untuk gaun dan sut tempahan yang menepati peribadi individu si pemakai.

Chaps membawakan aliran fesyen yang berpaksikan keyakinan, semangat dan terkini. Dengan inspirasi yang dicetuskan oleh elemen nautika hingga ke gaya Americana, Chaps sentiasa menepati cita rasa peminat muda fesyen yang sukakan gaya.

Oleh kerana Ralph Lauren begitu mencintai negaranya, Chaps yang diilhamkannya sememangnya mendapat sentuhan seni fesyennya daripada bandar terkenal di Amerika Syarikat.

Untuk koleksi wanita, Chaps menampilkan busana seperti blaus, baju wanita, skirt dan seluar dengan rekaan sofistikated yang sedia dipakai, sesuai untuk tampil formal di pejabat dan digayakan untuk makan malam.

Koleksi busana wanita Chaps dilengkapi butiran seperti sulaman halus, renda lelubang dan potongan kru­sye yang menyerlahkan unsur feminin.

Semua koleksi ini amat bersesuaian dengan imej dan penampilan wanita dalam hidup moden dan serba pantas hari ini.

Untuk koleksi lelaki pula, Chaps menawarkan gaya yang mudah alih dari pejabat ke majlis koktel dengan pelbagai pilihan busana yang rapi, bermula daripada kemeja Polo yang selesa, hinggalah kemeja kekotak Oxford, seluar pendek tanpa lisu dan seluar klasik dalam pelbagai warna pilihan.

Dengan Chaps, lelaki yang inginkan keselesaan dan gaya tersendiri pasti akan menikmatinya daripada varian klasik jenama ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Februari 2017 @ 10:33 AM