IHSAN pembaca HM
Zairee Mohd Yasak
am@hmetro.com.my


Jasin: Bayi lelaki berusia dua bulan maut selepas kereta keluarganya terbabit kemalangan dengan 4WD di Jalan Rim/Jasin, di sini, malam tadi.

Arwah Adif Irshad Nurul Firdaus disahkan meninggal ketika dalam perjalanan ke hospital.

Kejadian ketika dia bersama empat lagi ahli keluarga lain dalam perjalanan pulang ke rumah di Felda Bukit Senggeh, Nyalas dari Bandar Jasin.

Turut sama menaiki kereta adalah ibunya, Harniza Yaakob, 30; kakaknya, Qaireen Irdina, 6; neneknya, Nymoh Kadir, 50-an dan bapa saudara, Mohd Faiz Yaakob, 20-an.

Jurucakap polis berkata, ketika kejadian kereta dipandu bapa saudaranya dipercayai tidak sempat mengelak 4WD yang membuat pusingan U.

"Kereta itu kemudian merempuh bahagian tengah 4WD. Difahamkan mangsa berada di pangkuan ibunya di tempat duduk hadapan," katanya.

Katanya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Melaka menakala ahli keluarganya dirawat di Hospital Jasin.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Februari 2017 @ 9:03 AM