Westwood sudah menjalani penggantungan pertama pada 4 Februari lalu. FOTO STR/MUHAMMAD SUHAIB MOHD SHAPIEE.
BERNAMA

Georgetown: Ketua jurulatih Pulau Pinang, Ashley Westwood digantung empat perlawanan termasuk satu penggantungan secara automatik kerana mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pengadil.

Keputusan itu dibuat Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang bermesyuarat semalam.

Westwood melakukan kesalahan itu semasa perlawanan Liga Super 2017 antara Pulau Pinang dan Perak di Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan pada 27 Januari lalu.

FAM dalam artikel disiarkan pada laman sesawangnya memaklumkan jurulatih itu turut didenda RM2,000 serta diberi amaran keras dan berdepan hukuman lebih berat jika mengulangi kesalahan yang sama.

"Ashley Westwood didapati bersalah kerana melanggar Artikel 51.1(a) Kod Tatatertib FAM berkenaan salah laku terhadap pegawai perlawanan dan dibaca bersama Artikel 59(a) Kod Tatatertib FAM berkenaan kelakuan menyinggung dan 'fair play'.

Artikel 50.1(c) Kod Tatatertib FAM berkenaan adalah salah laku terhadap pihak lawan atau individu selain daripada pegawai perlawanan," menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, Westwood sudah menjalani penggantungan automatik ketika aksi Liga Super antara Pulau Pinang dan T-Team FC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pada 4 Februari.

Selain penggantungan automatik itu, Westwood turut dikenakan penggantungan tiga perlawanan melibatkan aksi Liga Super antara Pulau Pinang menentang Sarawak pada 11 Februari, Pulau Pinang berdepan Pahang (18 Februari) dan Pulau Pinang bertemu Kedah (25 Feb).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Februari 2017 @ 6:57 PM