Orang ramai melihat jenazah penunggang motosikal yang maut selepas dirempuh sebuah lori di simpang empat lampu isyarat Sungai Karangan-Padang Meha. FOTO Ahli ICJ Kulim
Azahar Hashim
am@hmetro.com.my


Kulim: Dua penunggang motosikal maut selepas dirempuh sebuah lori ais yang melanggar lampu isyarat di simpang empat Sungai Karangan-Padang Meha, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian 8.25 malam itu, Mohamad Adam Mohd Adnan, 24, yang menunggang SYM Sport Bonus dari Kampung Kejai, Kuala Ketil meninggal di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Seorang lagi penunggang Modenas Kriss, Azizah Hamid, 53, dari Kampung Bukit Hijau, Kuala Ketil turut meninggal di tempat kejadian manakala anak lelakinya berusia 18 tahun patah kaki kiri dan cedera di badan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim Deputi Superintendan Baruddin Wariso berkata, hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati mangsa datang dari arah Kulim Hi-Tech menghala ke arah Baling.

"Sementara lori terbabit yang dipandu seorang lelaki berusia 47 tahun datang dari arah Sungai Karangan.

"Siasatan awal disyaki lori terbabit melanggar lampu isyarat merah lalu merempuh dua motosikal terbabit menyebabkan mangsa cedera parah dan meninggal dunia," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Februari 2017 @ 4:51 PM