Mayat seorang wanita (kiri) dan kanak-kanak (tengah) yang baru ditemui manakala gambar kanan, mayat lelaki yang ditemui awal hari ini. - Foto Ihsan PDRM
Junaidi Ladjana
junaidi_ladjana@hmetro.com.my


Tawau: Lima lagi mayat, termasuk seorang wanita mengandung dan tiga kanak-kanak ditemui di perairan Pulau Sebatik, Indonesia, hari ini, selepas satu mayat lelaki ditemui sebelum itu, yang semuanya dipercayai mangsa bot karam di perairan Tinangat, dekat sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, penemuan lima lagi mayat itu menjadikan enam mayat sudah ditemui setakat ini, semuanya di perairan Indonesia.

"Mayat terbaru yang ditemui ialah tiga kanak-kanak lelaki, dua wanita dewasa termasuk seorang sedang hamil dan seorang lelaki.

"Semua mayat dibawa ke Pulau Nunukan oleh pihak berkuasa Indonesia," katanya di sini, hari ini.

Dua mangsa, warga Indonesia Budiman Muslimin, 26, dan isterinya, Hasmida Masaniaga, 24, ditemui selamat petang semalam, selepas dilihat berenang ke pantai Kamoung Batu Payung di sini.

Bot dinaiki mereka membawa 15 penumpang, termasuk tekong terbalik dipukul ombak petang kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Februari 2017 @ 12:00 PM