Omar menunjukkan alat penyukat minum keras yang dirampas di sebuah pusat hiburan di Lumut. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
Noor Hidayah Tanzizi
am@hmetro.com.my


Manjung: Tujuh premis dikenakan kompaun sebanyak RM1,150 oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Cawangan Manjung apabila gagal menguruskan alat penimbang ketika pemeriksaan dalam operasi khas di sekitar daerah ini, hari ini.

Dalam operasi yang dijalankan sejak semalam dan berakhir jam 2 petang tadi, pasukan penguat kuasa seramai 16 pegawai dan anggota cawangan Manjung serta negeri bersama dua pegawai Metrology Corporation Malaysia (MCM) memeriksa 70 premis di sekitar daerah ini.

Timbalan Pengarah Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri Suhaimi Mat Sari berkata, antara premis yang diperiksa adalah pusat hiburan, kedai runcit, pelantar ikan, rumah urut dan kedai emas.

Katanya, kompaun dikenakan kepada premis berkenaan selepas semua mereka didapati melakukan kesalahan mengikut Akta Timbang dan Sukat 1972 hasil penelitian dilakukan terhadap alat yang digunakan.

"Hasil pemeriksaan yang dijalankan kita mendapati sebanyak tujuh kes di bawah Akta Timbang dan Sukat manakala daripada jumlah itu, tiga kes membabitkan alat sukat minuman keras di premis berasingan di Lumut.

"Alat yang digunakan untuk menyukat minuman keras itu didapati jenis yang tidak dibenarkan dan melebihi daripada tempoh penggunaan," katanya dalam sidang media, di Pejabat KPDNKK Cawangan Manjung, di sini hari ini.

Menurutnya, pihaknya turut merampas alat penyukat dan penimbang berjumlah RM3,200.

Turut hadir Ketua Cawangan KPDNKK Manjung, Omar Ismail.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Februari 2017 @ 6:39 PM