Anggota Pasukan Polis Marin menunjukkan tong yang mengandungi petrol berjaya dirampas bersama sebuah kereta jenis Proton Iswara Aeroback.
Mohamad Zulhairie Manzaidi
am@hmetro.com.my


Tumpat: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor merampas 15 tong berisi 450 liter petrol untuk diseludup ke Thailand dalam serbuan di belakang sebuah rumah di Kampung Kuala Jambu, di sini jam 11.30 pagi tadi.

Pegawai Pemerintah PPM Pengkalan Kubor Asisten Superintendan Ahmad Amri Abd Rahman berkata, serbuan dibuat selepas Unit Risikan Marin (URM) melakukan intipan di kawasan itu.

Beliau berkata, terdahulu pihaknya memperoleh maklumat awam terdapat sebuah Proton Iswara Aeroback ditinggalkan di kawasan berkenaan dalam keadaan mencurigakan.

"Hasil pemeriksaan, kami menjumpai 15 tong berkapasiti 30 liter setiap satu yang berisi petrol dan dipercayai untuk diseludup keluar ke Thailand

"Anggaran keseluruhan rampasan bernilai RM4,035 dan kes disiasat mengikut Seksyen 22 Akta Polis 1967.

"Bagaimanapun tiada sebarang tangkapan dibuat," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Februari 2017 @ 4:51 PM