Mohd Hafizee Mohd Arop
hafizee@hmetro.com.my


Ipoh: Mayat remaja perempuan belasan tahun yang mati dibunuh dan ditemui dalam keadaan reput serta berulat di Kilometer 24, Jalan Gerik-Kupang, dekat Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Bintang Hijau, Gerik, kelmarin, dipercayai warga asing.

Difahamkan, hasil bedah siasat yang dijalankan semalam di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), tidak menemui parut suntikan imunisasi BCG (Bacillus Calmette Guerin).

Dalam kejadian 12 tengah hari itu, mayat remaja perempuan dianggar berusia antara 10 hingga 13 tahun itu ditemui pemotong rumput warga Bangladesh dalam keadaan lengkap berpakaian.

Sumber berkata, walaupun bedah siasat sudah dijalankan namun identitinya masih belum dikenal pasti berikutan keadaan mayat yang reput teruk serta berulat.

Katanya, cap jari mangsa sudah dihantar ke Bukit Aman untuk proses pengenalpastian identiti dan proses itu dijangka mengambil masa lama.

"Sukar untuk membuktikan identitinya kerana keadaan mayatnya yang reput namun cap jarinya sudah dihantar ke Bukit Aman untuk proses seterusnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Februari 2017 @ 3:15 PM