Oleh Rosliza Mohamed

Kota Bharu: Polis menahan 108 orang termasuk dua perempuan kerana disyaki menceroboh pasar raya dan sekitar bandar ini dan Tanah Merah.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata, daripada jumlah itu, 102 suspek ditahan di Tanah Merah, manakala enam lagi di Kota Bharu.

Katanya, semua yang ditahan berusia antara 14 hingga 40 tahun.

"Kita tahan mereka bermula 26 Disember hingga semalam kerana menceroboh dan mencuri barangan keperluan makanan harian ketika banjir besar lalu," katanya pada sidang media tadi.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 457, Seksyen 380, Seksyen 451 dan Seksyen 448 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Disember 2014 @ 11:48 AM