GAMBAR fail menunjukkan tentera Myanmar melakukan serangan terhadap penduduk Rohingya di Rakhine. - Agensi
Agensi

Yangon: Kumpulan hak asasi manusia Human Rights Watch (HRW) semalam menggesa Myanmar menghukum pemerintah tentera dan polis yang membenarkan anggota mereka memperkosa dan melakukan serangan seksual terhadap wanita dan gadis etnik Rohingya.

Kumpulan yang berpejabat di New York itu berkata, ia sudah mengumpulkan bukti mengenai kejadian pemerkosaan, merogol beramai-ramai dan keganasan seksual lain ke atas gadis semuda 13 tahun menerusi wawancara dengan sebahagian 69,000 etnik itu yang melarikan diri ke Bangladesh sejak tentera dan polis Myanmar melancarkan keganasan di penempatan mereka di Rakhine empat bulan lalu.

“Keganasan seksual itu kelihatan bukan dilakukan secara rambang. Ia sebaliknya dilakukan secara selaras dan bersistematik terhadap mangsa kerana etnik dan agama mereka,” menurut kenyataan HRW.

Kira-kira 1.1 juta etnik Rohinghya tinggal di Rakhine, negeri di barat Myanmar. Bagaimanapun, pergerakan mereka dan kemudahan untuk mendapat perkhidmatan amat terhad.

Mereka juga dinafikan hak untuk mendapat kerakyatan Myanmar.

Laporan HRW itu diterbitkan beberapa hari selepas penyiasat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkata, pasukan keselamatan Myanmar berkemungkinan besar melakukan jenayah terhadap kemanusiaan ke atas masyarakat itu.

Menurut HRW, ia berjaya mengumpulkan bukti untuk 28 kes serangan seksual berbeza, termasuk wawancara dengan sembilan wanita yang dirogol secara bergilir-gilir oleh tentera Myanmar.

Wanita berkenaan dan saksi lain berkata, penyerang ialah tentera atau polis sempadan Myanmar, berdasarkan pakaian seragam mereka.

“Komander tentera dan polis Myanmar perlu bertanggungjawab terhadap jenayah ini kerana mereka tidak bertindak menghalang atau menghukum orang bawahan mereka yang melakukan jenayah itu,” kata penyelidik kanan HRW, Priyanka Motaparthy.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Februari 2017 @ 8:17 AM