GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Hafiz Ithnin
hafizithnin@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Loob Holding Sdn Bhd (Loob Holding), bekas pemegang francais induk Chatime Malaysia (Chatime) menafikan kenyataan La Kaffa (La Kaffa) Inernational Co Ltd dan terus mempertahankan haknya dengan mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat berpangkalan di Taiwan berkenaan.

Pada 3 Februari lalu, La Kaffa mengeluarkan kenyataan berkenaan faktor pemecatan Loob Holding disebabkan penggunaan bahan mentah yang bukan sebahagian daripada resipi yang diluluskan dan tidak melunaskan yuran royalti dalam waktu yang ditetapkan.

Ketua Pegawai Eksekutif Loob Holding, Bryan Loo berkata, pihaknya tidak mahu litigasi menerusi media dan kini menunggu proses undang-undang mengenai isu berkenaan.

Beliau berkata, perjanjian francais induk antara La Kaffa dan syarikatnya menetapkan sebarang pertikaian yang timbul hendaklah ditimbang tara di Singapura.

"Dakawaan yang dibuat dalam siaran akhbar isu bahan mentah yang digunakan adalah bukan sebahagian daripada resepi yang diluluskan boleh membawa kepada tanggapan yang salah mengenai kualiti produk Chatime di Malaysia.

"Syarikat membuat pelaburan besar untuk kontrak bertempoh 30 tahun yang berakhir pada 2041 membuktikan Loob Holding mahukan tempoh francais yang panjang serta tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh menjejaskan pelaburan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Loob yang menerima surat pemecatan pemegang francais Chatime di Malaysia pada 5 Januari lalu kini dalam proses memperkenalkan jenama baru yang bakal diumumkan pada Mac ini.

Krisis pertikaian antara Loob dan La Kaffa dibawa ke Pusat Abitrasi Antaranbangsa di Singapura sejak September 2016 dan La Kaffa mengiktiraf Loob sebagai pemegang francaisi terbaik pada Disember tahun yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Februari 2017 @ 5:50 PM