Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Rangkaian Radio Media Prima Berhad (RRMPB) mengumumkan nama dua lagi penyampai baru selepas kemasukan pelawak Shuk pada Januari lalu.

Mereka ialah Zetty Nabila Muhamad Ghazali, 26 yang akan bertugas di Hot FM dan Muazanazzudin Mohamed, 33 (Kool FM) berkuat kuasa hari ini.

Menurut Pengurus Besar Kumpulan Rangkaian Radio Media Prima, Anida Mohd Tahrim, penyertaan tiga penyampai ini adalah bagi memantapkan lagi stesen radio berkenaan selain menampilkan pembaharuan.

“Pemantapan barisan penyampai menepati misi dua stesen radio ini untuk sentiasa tampil dengan pembaharuan. Ia bersesuaian dengan visi kami yang mahu menjadi satu jenama kukuh dengan fokus utama terhadap muzik, hiburan serta pengisian gaya hidup terkini.

“Kami percaya kehadiran wajah baru ini akan memantapkan lagi Hot FM dan Kool FM. Apatah lagi Hot FM bakal menyambut ulang tahun yang ke 11 pada 1 Mac ini,” katanya.

Sebelum ini, Zetty Nabila atau lebih dikenali sebagai Zetty adalah anggota Hot FMHonda Jazz Zoomerz sejak 2012 dan turut bertugas sebagai penyampai radio sambilan di stesen itu sejak dua tahun lalu.

Zetty mengisi posisi Tengku Nor Surya Tengku Mohamad atau Rea yang kini betugas di Kool FM.

Manakala Muazanazzudin atau Muaz pernah bertugas di stesen radio kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Februari 2017 @ 1:24 PM