UJIAN peluru berpandu balistik yang dilakukan Iran.
Kamarudin Mohamed Salleh

Amaran keras Presiden Donald Trump selepas ujian peluru berpandu balistik Iran berisiko mengheret Amerika Syarikat (AS) ke dalam konflik atau menjadikan pemimpin baru itu kelihatan lemah sekiranya tidak disusuli dengan tindak balas apabila Teheran membuat sekali lagi provokasi.

Penganalisis menyambut baik amaran terhadap Iran yang dianggap pentadbiran Trump sebagai antara negara yang memberi ancaman paling bahaya, tetapi memberi peringatan, presiden itu perlu menyediakan beberapa pilihan untuk bertindak balas sekiranya ujian itu dilakukan lagi.

“Sekiranya mahu membuat ancaman, kamu mesti bersedia untuk meneruskannya.

“Persoalannya, adakah mereka (pentadbiran Trump) bersedia meneruskannya,” kata penganalisis di Institut America Enterprise, Fred Kagan.

Pentadbiran Trump pada Jumaat lalu turut mengumumkan sekatan ekonomi baru terhadap beberapa individu dan syarikat di Iran sebagai tindak balas terhadap ujian peluru berpandu dan sokongan Teheran terhadap pemberontak di Yaman.

“Iran yang terus menyokong keganasan dan pembangunan peluru berpandu balistik mengancam rantau itu, rakan kami di seluruh dunia dan AS sendiri,” kata pemangku pengarah Jabatan Pejabat Perbendaharaan, Kawalan Aset Luar, John E Smith.

Penasihat keselamatan nasional Trump, Michael Flynn berkata, AS secara rasmi meletakkan Iran dalam notis selepas negara itu melancarkan ujian peluru berpandu dan pemberontak di Yaman yang disokong menyerang kapal Arab Saudi.

Trump mengulangi amaran itu dengan satu kenyataan di Twitter: “Iran secara rasmi diletakkan dalam notis kerana melancarkan peluru berpandu balistik. Terima kasih pada perjanjian teruk yang dibuat AS dengan mereka,”.

Trump merujuk perjanjian yang dimeterai pentadbiran bekas Presiden Barack Obama dan lima lagi kuasa besar bagi membendung program nuklear Iran.

Sebagai balasan AS dan beberapa negara menarik balik sekatan yang dikenakan terhadap Iran.

“Iran berdiri dengan kaki terakhir dan hampir tersungkur sehingga AS datang dan memberi talian hayat dalam bentuk perjanjian AS$150 bilion (RM664 bilion),” kata Trump di Twitter.

Teheran menegaskan ujian itu tidak melanggar ujian nuklear berkenaan kerana peluru berpandu itu tidak direka untuk membawa peledak nuklear.

Rumah Putih menjelaskan apakah tindak balas yang dipertimbangkan atau apakah tindakan lanjut Iran yang mungkin mencetuskan tindak balas negara itu.

AS berkata, negara itu mempunyai pelbagai pilihan termasuk sekatan ekonomi dan menyokong tentera yang ditentang pemberontak pro-Iran seperti di Yaman serta tidak menolak tindak balas ketenteraan.

Seorang lagi penganalisis, Michael Rubin berkata, Trump berisiko mengulangi kesilapan besar Obama dengan menyatakan ‘garisan merah’ tetapi tidak bersedia untuk mempertahankannya.

Pada 2012, Obama berkata, Presiden Syria, Bashar al-Assad melanggar ‘garisan merah’ sekiranya dia menggunakan senjata kimia terhadap kumpulan pemberontak dan orang awam, satu komen yang dianggap ancaman yang boleh mencetuskan tindak balas ketenteraan oleh AS.

Namun, apabila rejim Bashar beberapa kali menggunakan senjata kimia setahun selepas itu, Obama memilih menolak serangan terhadap Syria.

Ujar penganalisis, amaran Flynn dan Trump yang kurang jelas mungkin menyebabkan salah anggap.

“Kurangnya penjelasan adalah bahaya.

“Ia mungkin menggalakkan Iran menguji ‘garisan merah’ kerana ia tidak dijelaskan,” kata Rubin.

Tentera AS memberitahu, pihaknya tidak berundur di perairan berhampiran Iran.

Kapal perang AS sering transit di rantau itu dan satu armada tentera laut menuju ke sana untuk pertukaran rutin.

“Kami tidak membuat sebarang pendekatan berbeza dan sama seperti yang dilakukan sebelum ujian peluru berpandu berkenaan.

“Tetapi ini tidak bermakna kami tidak melakukannya pada masa depan,” kata jurucakap Pemerintah Pusat AS, Josh Jacques.

Menurut Rubin, Iran akan melihat tindakan AS bukannya kata-kata untuk menentukan bagaimana Teheran bertindak balas.

“Pencegahan bukannya teori retorik tetapi teori ketenteraan,” tegas Rubin.

Penulis Pengarang Global Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Februari 2017 @ 6:45 AM