AFP

London: Mauricio Pochettino (gambar) enggan berputus asa terhadap misi Tottenham Hotspur memburu gelaran Liga Perdana Inggeris selepas kemenangan 1-0 ke atas Middlesbrough membolehkan mereka ketinggalan sembilan mata berbanding pendahulu Chelsea.

Spurs perlu bekerja keras untuk memburu kemenangan awal pagi semalam dan terpaksa mengharapkan jaringan penalti Harry Kane pada babak kedua untuk merobek gawang Middlesbrough.

“Sembilan mata cukup baik, ia membabitkan tiga perlawanan tapi semuanya bergantung kepada Chelsea. Terpulang kepada kami untuk terus mengasak, memenangi perlawanan dan penting untuk Liga Perdana Inggeris,” kata pengurus Tottenham Pochettino.

“Saya fikir kami mempunyai lebih banyak peluang untuk cuba bersaing dan mencabar gelaran Liga Perdana. Kita lihat saja apa akan berlaku kerana masih banyak perlawanan lagi.

“Fokus kami sekarang adalah cuba memenangi setiap perlawanan dan merapatkan jurang dengan Chelsea. Namun kami tidak memikirkan di mana kedudukan pada akhir liga, kami memikirkan untuk melakukan yang terbaik dan mempamerkan peningkatan.

“Merapatkan jurang pastinya satu misi sukar, sembilan mata sukar untuk dikurangkan tapi dalam bola sepak, anda perlukan keyakinan. Perkara paling penting adalah cuba bermain dalam setiap perlawanan.”

Tottenham kehilangan mata ketika menentang Sunderland pada perlawanan sebelum ini dan wujud kebimbangan sejarah bakal berulang kelmarin.

Middlesbrough sudah pun menentang Arsenal dan Manchester City dengan mencuri satu mata dan skuad Pochettino gagal menangani kehebatan penjaga gol Middlesbrough Victor Valdes.

Tekanan itu bagaimanapun hilang apabila Bernardo Espona menjatuhkan Son Heung Min sebelum penalti diberikan pada minit ke-58 yang disempurnakan Kane.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Februari 2017 @ 5:02 AM