RUBY Rose.
Susunan Michelle Gun
michellegun@hmetro.com.my


Tahun ini cukup sibuk bagi pelakon Ruby Rose selepas membintangi filem aksi Resident Evil: The Final Chapter, xXx: Return of Xander Cage dan sekuel baru John Wick 2 yang akan ditayangkan pada 9 Februari ini.

Dengan memiliki karakter wanita berpengaruh, pelakon berusia 30 tahun ini ketika ditemu bual portal ET terbuka menerima watak gadis Bond sekiranya ada tawaran dalam filem baru James Bond.

“Saya tidak kisah berlakon dalam filem James Bond,” jawabnya dengan ringkas.

Berlakon sebagai ketua penjenayah bisu bernama Ares, Rose berkata, watak itu istimewa kerana tidak membabitkan babak menggoda untuk melumpuhkan pihak lawan.

“Saya suka menyaksikan karakter seperti ini dalam filem. Ares juga memakai sut seperti orang lain dan pada pandangannya dia kelihatan menarik.

“Bagi saya, agak kurang sesuai kalau Ares memakai skirt dan kasut tumit tinggi mengejar John Wick, pasti saya sukar melakonkan watak itu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, pelakon Australia ini kini sibuk melakukan latihan vokal sebagai persiapan penggambaran sekuel baru Pitch Perfect 3.

“Perjumpaan dengan barisan pelakon filem ini memang menyeronokkan. Saya peminat tegar Elizabeth Banks, Rebel Wilson dan Anna Kendrick.

“Jadi, latihan menyanyi atas pentas di hadapan semua orang baru-baru ini satu pengalaman baru bagi saya,” katanya.

Sementara itu, beralih kepada kehidupan peribadinya pula, Rose mendedahkan ibunya, Katia Langenheim menyedari pelakon terbabit menunjukkan tanda meminati jantina sejenis sejak usia enam tahun.

Menurut pelakon Orange Is the New Black ini, dia hanya menceritakan kepada ibunya mengenai perkara itu pada usia 12 tahun.

“Ibu memberitahu dia sudah tahu saya lesbian sejak kecil. Saya terkejut kerana tidak menyedari sudah menunjukkan tanda meminati golongan sejenis pada usia itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Februari 2017 @ 5:00 AM