Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my


Johor Bahru: “Saya tidak pernah berasa jijik membersihkan najis ibu sebaliknya bersyukur kerana Allah SWT memberi peluang untuk berbakti kepadanya yang terlantar selepas diserang angin ahmar lebih sebulan lalu,” kata pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Johor Jaya 1, Nur' Ain Nabilah Mohd Sa'aroni, 15.

Nur' Ain berkata, tugasan memberi penjagaan kepada ibunya, Zahrah Semanek, 54, selepas pulang dari sekolah sudah menjadi rutin hariannya.

Menurutnya, malah dia juga hanya 'tidur ayam' setiap malam bagi memastikan ibunya tidak kelaparan berikutan perlu memberi susu menerusi tiub di hidung setiap empat jam sekali.

"Sebelum meninggalkan rumah ke sekolah pada setiap pagi saya memastikan ibu dalam keadaan bersih termasuk ditukar lampin. Saya juga memberikannya susu dan berpesan kepada abang supaya tidak lupa untuk membancuh susu untuk ibu dalam tempoh saya berada di sekolah.

"Sepanjang di sekolah saya hanya mampu berdoa bagi ibu agar dia dalam keadaan baik," katanya yang tinggal di Jalan Ros Merah 5/1, Taman Johor Jaya.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata, dia bernasib baik kerana abang sulung dan kedua yang masing-masing berusia 18 dan 20 tahun turut bergilir menjaga ibu ketika mereka berada di rumah.

Menurutnya, abang sulungnya, Mohd Asri bekerja di kilang manakala abang kedua pula sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) selain baru pulih daripada kecederaan di kaki akibat terbabit dalam kemalangan jalan raya.

Nur' Ain berkata, tugasan hariannya dalam memberi penjagaan kepada ibu termasuk pengambilan ubat selain membersihkan beg najis.

Menurutnya, pada masa sama, dia terpaksa mencuri masa mengulangkaji pelajaran sebagai persiapan menghadapi Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) pada tahun ini.

"Walaupun ibu tidak dapat berkomunikasi, dia mampu menulis di kertas bagi menyampaikan mesej kepada saya supaya semangat saya menimba pelajaran tidak luntur," katanya.

Nur' Ain berkata, sebelum diserang angin ahmar, ibunya mengambil tugas bapa mereka yang meninggal dunia pada 2010 akibat sakit jantung dengan mengambil upah menjaga anak kenalan selain berjimat menggunakan wang pencen penakat sejumlah RM1,000 daripada Pertubuhan Kebajikan Sosial Pekerja (PERKESO).

"Kini wang berkenaan kami gunakan sepenuhnya untuk membeli barangan keperluan ibu termasuk lampin pakai buang dan susu disyorkan doktor," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Februari 2017 @ 9:16 PM
Nur Ain menjaga Zahrah di rumahnya di Taman Johor Jaya, Johor Bahru. FOTO Mary Victoria Dass