Siti A'isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my


Putrajaya: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyediakan kaunselor bagi membantu keluarga bayi perempuan yang maut selepas disyaki dikelar ibunya bagi mengurangkan trauma mereka.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Azizah Mohd Dun berkata, kaunseling yang diberikan dikendalikan Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) Kelantan dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

"Saya difahamkan pelaku mempunyai masalah mental (meroyan) dan kejadian ini juga suatu perkara yang tragik.

"Insiden seperti ini memang tidak dapat dijangka dan boleh berlaku kepada sesiapa pun dan kadangkala meroyan itu tidak ekstrim tetapi kali ini, ia ekstrim," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sijil Tamat Latihan Modul Bakeri Program Latihan Kemahiran Khas Suri Rumah 'My Home Chef' 2.0 di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas seorang bayi perempuan berusia dua bulan mati dipercayai dikelar ibunya di kuarters Kem Desa Pahlawan, Kok Lanas, Kota Bahru, Kelantan petang semalam.

Mayat Nur Areesa Sofea Jiri ditemui di ruang tamu dengan kecederaan di leher dan dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab I, Kota Bharu (HRPZII) untuk bedah siasat.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Mukim Jal Kechik, Tumpat jam 3.15 pagi hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Februari 2017 @ 1:41 PM