Siti Nor Hidayatidayu Razali dan Muhamaad Razis Ismail
sitinor@hmetro.com.my


Kota Bharu: Wanita berusia 32 tahun yang disyaki mengelar bayi perempuannya sehingga mati semalam, direman tujuh hari bermula hari ini di wad psikiatri Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu tadi.

Perintah tahanan reman dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Kota Bharu Rusli Ahmad bermula hari ini sehingga 11 Februari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, penolong pendaftar mahkamah bersama seorang jurubahasa dan pegawai polis tiba jam 9 pagi di wad berkenaan untuk proses reman itu sebelum dilihat keluar 10 minit kemudian.

Sementara itu, di Bachok, Ketua Polis Kelantan, Datuk Dr Ab Rahman Ismail berkata, polis masih menunggu laporan perubatan daripada pakar psikiatri berhubung keadaan wanita itu.

Beliau berkata, laporan akan diperoleh dalam masa terdekat daripada Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

Harian Metro hari ini melaporkan Nur Areesa Sofea Jiri ditemui mati dipercayai dikelar oleh ibunya di kuarters Kem Desa Pahlawan, Kok Lanas di sini, jam 2.45 petang dengan pisau pemotong sayur.

Mayat dibawa ke HRPZII untuk bedah siasat sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Mukim Jal Kechik, Tumpat jam 3.15 pagi tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Februari 2017 @ 11:47 AM