JESSICA yakin meraih lebih banyak kejayaan selepas ini.
Aida Adilah Mat
aida_adilah@hmetro.com.my


Buang sikap malas, tingkatkan usaha dan kecergasan, anda pasti untuk menjadi atlet berjaya.

Itu antara kata-kata yang sentiasa menjadi tangkal azimat atlet skuasy remaja negara Jessica Keng.

Berusia 14 tahun, Jessica berkata, pada mulanya dia lebih menggemari sukan bola keranjang namun mendapat tentangan keluarga.

Bagaimanapun selepas mengenali skuasy, hatinya mula terpikat dan kejayaan bergelar juara remaja Terbuka British (BJO) dua tahun lalu meninggalkan kenangan cukup manis dalam diari kehidupannya sebagai atlet.

“Skuasy membawa saya mengembara serata dunia. Setakat ini, saya sudah pergi ke banyak tempat, antaranya Manchester, India, Australia dan Hong Kong. Skuasy membawa saya mengenali dunia.

“Saya mempunyai ramai kawan dengan bermain skuasy. Sukan ini juga mengajar saya menjadi seorang yang berdisiplin dan dengan skuasy saya mengenali seorang atlet yang begitu hebat - Nicol David. Nicol idola saya,” katanya.

Pertemuan dengan Nicol satu ketika dulu cukup memberi inspirasi buat Jessica untuk melakarkan kejayaan dalam skuasy.

Malah kata-kata semangat itu yang membolehkan Jessica dinobatkan juara BJO.

Tidak pernah mengalah, atlet kelahiran Sabah itu yakin, idolanya itu akan bangkit kembali biarpun kini Nicol di ambang kejatuhan karier.

“Saya tahu Nicol seorang yang kuat semangat. Dia tidak mudah putus asa. Saya tahu dia akan bangkit untuk bergelar juara kembali,” katanya.

Bercita-cita untuk menjadi secekal dan sehebat Nicol, Jessica berharap dia mampu meraih lebih banyak kejayaan selepas ini.

Namun dia mengakui agak sukar selepas tidak ramai atlet beraksi dalam acaranya yang memaksanya beralih ke kategori lebih besar.

“Memang susah tapi sedikit sebanyak akan membantu corak permainan saya menjadi lebih bagus,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Februari 2017 @ 5:08 AM