SELEPAS setahun berumah tangga, kini bersiap sedia untuk berkeluarga.
SELEPAS setahun berumah tangga, kini bersiap sedia untuk berkeluarga.
Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my

Ketika bujang sering ditanya bila mahu berkahwin dan apabila berkahwin, ditanya pula bila mahu menimang cahaya mata. Itu perkara biasa yang sering dihadapi artis sama ada lelaki atau wanita.

Perkara sama turut dilalui pelakon kelahiran Singapura, Shah Iskandar Mahfuz, 35, sejak mendirikan rumah tangga bersama wanita pilihan hati, Siti Sarah Mohd Noor pada 16 Januari 2016.

Walaupun ia dianggap soalan sensitif, bagi pelakon utama yang kini membintangi drama bersiri Syurga Ku Tak Sempurna di Hypp Sensasi dan Hypp Everywhere, dia bersikap terbuka dan tidak pernah terasa hati.

Shah yang ditemui baru-baru ini mengakui perhatian peminat terhadapnya sekarang lebih kepada bila dia dan isteri mahu menimang cahaya mata.

“Saya tidak marah apatah lagi mahu berkecil hati. Memanglah kalau diikutkan saya dan isteri sekarang sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai ibu dan ayah. Namun apakan daya, Allah belum lagi kurniakan kami rezeki itu.

“Mungkin juga rezeki itu belum diberikan Allah kerana sebaik berkahwin, saya dan isteri merancang untuk tidak memperoleh anak terlebih dulu,” katanya.

Kata Shah, orang tua-tua selalu berkata selepas bernikah jangan merancang kerana apabila merancang umpama satu doa.

“Mungkin disebabkan itu juga kami belum diberikan rezeki. Begitupun, untuk tahun ini memang kami tidak lagi merancang dan kalau boleh mahu menimang cahaya mata secepat mungkin,” katanya.

Apapun, kata Shah, dia dan isteri mempunyai alasan untuk merancang terlebih dulu selepas kahwin. Bagi dia dan isteri, adalah penting untuk mereka mengatur hidup bersama supaya lebih selesa sebelum menerima kehadiran orang baru.

“Semua tahu kedudukan ekonomi sekarang tidak menentu apatah lagi selepas bernikah banyak urusan yang perlu dilaksanakan. Waktu sama kami cuba menikmati hidup berbulan madu.

“Untuk merealisasikan impian menimang cahaya mata tahun ini, kami menghabiskan banyak masa bersama. Malah kalau, ada kelapangan, kami makan angin seperti berbulan madu,” katanya.

Shah dan isteri baru saja pulang bercuti dari Bangkok, Thailand sempena menyambut ulang tahun pertama perkahwinan mereka. Dia gembira dapat menghabiskan masa bersama orang yang disayangi.

Katanya, bukan lokasi yang menjadi pengukur untuk menghabiskan masa bersama isteri tetapi aktiviti dan masa kualiti yang dapat dinikmati bersama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Februari 2017 @ 5:03 AM