Mohd Hafizee Mohd Arop
hafizee@hmetro.com.my


Kuala Kangsar: Polis terpaksa menembak tayar 4WD yang memecut laju dan menghimpit unit kereta peronda polis di susur keluar Plaza Tol Kuala Kangsar, di sini.

Selain itu, polis juga terpaksa memecahkan cermin trak pikap berkenaan selepas suspek enggan membuka pintu kereta dan bekerjasama dengan polis, dalam kejadian 2.20 petang semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Deputi Superintendan Ibrahim Husin, berkata pemeriksaan di dalam kenderaan itu menemui enam warga Myanmar berusia 16 hingga 30 tahun.

Katanya, dua lelaki tempatan berusia 40-an yang juga pemandu dan penumpang hadapan kereta itu ditahan selepas dipercayai cuba menyeludup masuk enam warga Myanmar terbabit.

"Siasatan mendapati enam warga Myanmar yang tidak mempunyai sebarang dokumen itu diambil di Kelantan untuk dibawa bekerja di Kuala Lumpur.

"Hasil ujian air kencing terhadap dua lelaki tempatan itu positif dadah jenis syabu dan seorang dari mereka mempunyai dua rekod jenayah lampau," katanya ketika dihubungi.

Menurut Ibrahim, kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Februari 2017 @ 2:04 PM