ARSENAL tewas mengejut kepada Watford minggu lalu.
AFP

London: Arsenal perlu mengatasi sebarang keraguan mengenai masalah kekuatan mental mereka apabila bertandang ke Stamford Bridge untuk bertemu pendahulu Liga Perdana Chelsea malam ini.

Chelsea tercicir mata buat kali kedua sepanjang 17 perlawanan musim ini apabila seri 1-1 di Liverpool tetapi Arsenal pula gagal mengambil peluang gara-gara tewas 1-2 di tangan Watford.

Keputusan itu bermakna kedua-dua pasukan kini dibezakan dengan sembilan mata dan jika Arsenal tewas di Stamford Bridge, impian untuk mencabar gelaran musim ini sudah boleh dikatakan berakhir.

“Apabila anda bermain di liga utama dan beraksi hambar, itulah perkara yang akan anda terima,” kata pengurus Arsenal Arsene Wenger selepas tewas di tangan Watford.

“Cara kami bermain di babak pertama memang merisaukan. Sudah tentu kami mahu bangkit ketika menentang Chelsea.

“Bila anda tewas, anda mahu bangkit serta merta dan kami perlu menganalisa apa yang sudah berlaku dan bermain Sabtu ini dengan gaya yang meyakinkan.”

Kekalahan di tangan Watford yang menjaringkan dua gol sepanjang 13 minit pertama adalah keputusan negatif keempat yang diterima Arsenal setakat ini sekali gus hanya mampu mengumpul 13 mata berbanding 15 yang sepatutnya diperoleh.

Arsenal kini berada di kedudukan yang selalu mereka capai dan jika mahu kembali mengukuhkan tempat untuk ke Liga Juara-Juara, Gunners tidak mempunyai pilihan selain mengalahkan Chelsea.

Arsenal pernah menewaskan anak buah Antonio Conte musim ini tetapi ia tidak cukup untuk memastikan Gunners mampu menduduki tangga teratas.

Pada minit ke-55 perlawanan yang menyaksikan Chelsea tewas 0-3 di Stadium Emirates pada 24 September, Conte mengubah corak permainan kepada 3-4-3 dan ia ternyata cukup kebal setakat ini.

Bagaimanapun, empat bulan sudah berlalu dan Arsenal kini menduduki tangga ketiga liga sambil Chelsea terus melaungkan azam untuk mencatat kemenangan di depan penyokong sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Februari 2017 @ 5:49 AM