KLHC belasah SSTMI 7-1, semalam.

Kuala Lumpur: Pemjaga gol Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) Roslan Jamaluddin berharap pasukannya dapat mengekalkan rekod kemenangan sehingga penghujung musim dalam usaha untuk memintas pendahulu Liga Perdana Terengganu Hockey Team (THT).

Semalam dia serta rakan sepasukannya kembali mencatatkan kemenangan dengan menewaskan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) 7-1.

Namun kemenangan besar itu masih belum cukup untuk merampas kedudukan teratas liga daripada THT yang turut menang besar 6-1 ke atas TNB di Stadium Hoki Batu Buruk.

THT kini unggul mengumpul 19 mata manakala KLHC menduduki tangga kedua liga ketinggalan dua mata.

“Walau siapa lawan yang ditemui, misi utama adalah meraih tiga mata penuh.

“Sebab kami sedang berusaha mengejar THT. Sama seperti kami, THT juga tidak boleh mencicirkan sebarang mata sehingga ke perlawanan terakhir liga.

“Walaupun hanya bertemu SSTMI hari ini (semalam), kami tetap memberikan fokus sepenuhnya pada setiap minit dalam usaha untuk meraih kemenangan.

“Jika ada peluang untuk menambah lebih banyak gol lagi pada satu-satu perlawanan, kami akan cuba melakukannya,” kata Roslan.

KLHC mendahului empat gol selepas berakhir dua suku pertama menerusi jaringan Umar Bhutta m-8, Muhammad Nur Asyraf Ishak m-14, Muhammad Azri Hassan m-17 dan Mohd Syamim Mohd Yusof m-23.

Mereka menambah tiga lagi gol pada suku ketiga dan keempat hasil jaringan Kleinschmidt Aaron Craig m-43, Muhammad Noor Faeez Ibrahim m-47 dan Ahmad Kazamirul Nasruddin m-59.

Gol sagu hati SSTMI disumbangkan Mohamad Aliff Syazwan Noor Shah m-56.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Februari 2017 @ 5:37 AM