GAYA hidup moden seiring kesedaran pentingnya landskap.
PERSEKITARAN Legoland Malaysia, Johor yang sarat dengan suasana hijau.
PENGAYAAN persekitaran luar untuk kegunaan bersama.
PENGAYAAN persekitaran luar untuk kegunaan bersama.
Hartini Mohd Nawi
hartini@hmetro.com.my


Bermula tahun 1981, landskap di negara kita memperlihatkan perkembangan membanggakan selari pembangunan yang dirancang.

Selepas 35 tahun, arkitek landskap antara yang berjuang untuk memastikan setiap pembangunan dapat diimbangi dengan peruntukan kehijauan setimpal dan berkualiti, untuk kita serta generasi akan datang.

Malah arkitek landskap juga sentiasa memastikan prinsip pembangunan mampan menjadi amalan perancangan dan reka bentuk pembangunan setiap masa.

Tentunya, usaha murni ini tidak berhenti di situ, kerana dengan pembangunan negara yang semakin pesat, arkitek landskap wajib terus berusaha menghijaukan negara ini dan dunia.

Ia menerusi iltizam yang jelas dan berusaha untuk mempertingkatkan peranan serta integriti profesion.

Menurut Presiden Institut Arkitek Landskap Malaysia (ILAM) Prof Madya Dr Osman Mohd Tahir, bidang seni bina landskap saling berkait dengan sains dan seni dalam reka bentuk, perancangan atau pengurusan sesuatu kawasan, pengaturan struktur buatan manusa atau semula jadi.

“Ia melalui aplikasi pengetahuan dan kemahiran berkaitan budaya, kaedah saintifik dalam ekologi serta kajian perlakuan.

“Selain itu ia mengambil kira pemeliharaan sumber semula jadi dan pengawasan kawasan yang mampan hingga akhirnya membawa pengayaan persekitaran luar untuk kegunaan serta kesenangan pengguna.

“Pada masa sama arkitek landskap juga perlu mengenal pasti, menganalisis dan menyelesaikan masalah melalui teknik reka bentuk berdasarkan pengetahuan berkenaan fungsi, karakter estatik sesuatu bahan dan pengorganisasian elemen luaran, ruang persekitaran serta aktiviti setempat,” katanya.

Beliau berkata, perkhidmatan profesional yang ditawarkan seseorang arkitek landskap meliputi penyediaan dan penawaran khidmat nasihat serta kemahiran kepakaran diperlukan.

Seni bina landskap Malaysia dan ILAM

Tidak dinafikan ILAM turut memainkan peranan besar dalam pembangunan bidang seni bina landskap baik dalam atau luar negara.

Kesinambungan pembangunan fizikal dan keperluan persekitaran sudah diberikan penekanan yang sangat tinggi.

Peranan yang dimainkan bukan saja tertumpu kepada kebajikan ahli semata-mata, malah merangkumi memartabatkan profesion seni bina landskap di dalam dan luar negara.

Selain memastikan pengeluaran graduan oleh institusi pengajian memenuhi matlamat dikehendaki.

Menurut Dr Osman, adalah menjadi hasrat dan objektif ILAM supaya ahlinya berperanan sepenuhnya dalam pembangunan negara.

“Peranan ILAM antaranya mengembangkan pembangunan seni bina landskap di negara ini dalam segala aspek perancangan, rekaan, pelaksanaan dan pengurusan.

“Pada masa sama memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada hasil seni bina landskap yang bermutu untuk kepentingan masyarakat umum terutama usaha membangunkan taman bandar, taman kanak-kanak, kawasan lapang, projek reka bentuk alam sekitar dan kawasan awam umumnya,” katanya.

Setiap tahun, ILAM menganjurkan anugerah Malaysia Landscape Architecture Awards (MLAA), sempena sambutan Bulan Seni bina Landskap Sedunia.

Bulan Seni bina Landskap Sedunia biasanya disambut setiap April saban tahun.

“Menariknya anugerah itu menerima penyertaan pelbagai pihak termasuk arkitek landskap profesional, kerajaan dan pihak berkuasa tempatan, pemaju hartanah, kontraktor landskap, penyelidik dan pelajar seni bina landskap di peringkat pengajian tinggi.

“ILAM juga berbangga kerana anugerah MLAA itu turut diiktiraf Persekutuan Antarabangsa Arkitek Landskap (IFLA),” katanya yang juga Dekan Fakulti Rekabentuk dan Senibina, Universiti Putra Malaysia (UPM) itu.

Malah ILAM katanya, turut berperanan meningkatkan dan memberikan kefahaman kepada masyarakat umum berkenaan seni bina landskap terutama berkenaan meningkatkan mutu kehidupan manusia seperti di bandar besar yang sesak dan sibuk.

Sekali gus memberi peluang kepada masyarakat untuk menikmati dan mengecapi kualiti kehidupan dengan mengimbangi pembangunan dengan pemeliharaan alam semula jadi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Februari 2017 @ 5:05 AM