ANGGOTA polis bersenjata mengawal pintu masuk ke Louvre susulan serangan itu, semalam. - AP

Paris: Seorang lelaki bersenjatakan parang cedera ditembak selepas menyerang anggota keselamatan di muzium Louvre, Paris, semalam.

Seorang askar cedera dalam serangan lelaki itu yang ditembak lima kali.

Ketua Polis Paris, Michel Cadot berkata, lelaki itu membawa dua beg galas namun kedua-duanya tidak mengandungi bahan letupan.

“Kira-kira 250 orang yang berada di dalam muzium itu kemudian dibawa keluar sedikit demi sedikit,” katanya.

Perdana Menteri Bernard Cazeneuve menyelar kejadian itu sebagai perbuatan pengganas susulan laporan lelaki terbabit melaungkan takbir sebelum serangan.

Jalan di sekitar muzium terkenal berkenaan ditutup akibat kejadian.

Perancis dalam keadaan berjaga-jaga dengan ribuan askar mengawal ibu negaranya susulan serangan-serangan sejak beberapa tahun lalu.

Askar bersenjata sering dilihat meronda kawasan Louvre - antara tarikan pelancong utama di Paris yang jadi tumpuan jutaan pelawat setiap tahun.

Perancis melihat beberapa serangan sejak Januari 2015 apabila sekumpulan lelaki bersenjata menyerang pejabat majalah satira, Charlie Hebdo sebelum seorang lagi penyerang membunuh pelanggan di sebuah pasar raya beberapa hari kemudian.

Satu lagi serangan yang membunuh 130 orang dilancarkan beberapa lelaki dikenal pasti anggota Daish pada 13 November 2015, manakala Julai tahun lalu, seorang lelaki Tunisia merempuh orang ramai yang menyambut Hari Bastille di Nice menyebabkan 86 kematian. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Februari 2017 @ 5:04 AM