WARNA digunakan beri kesan segar dan klasik kepada pemakai.
WARNA digunakan beri kesan segar dan klasik kepada pemakai.
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

Busana tradisional mempunyai keindahan tersendiri. Baik dari segi potongan, perincian sehingga material digunakan. Apabila dipadankan ke tubuh wanita, keayuan pemakai terserlah. Keunikan rekaan busana tradisional ini mendorong pereka Arma Abd Rahman menghasilkan rekaan tradisional mengambil inspirasi daripada biduanita negara Allahyarham Datuk Seri Saloma.

Menjelaskan lebih lanjut, ujar Arma, Allahyarham Saloma ialah ikon fesyen yang tiada tolok bandingnya. Apa saja dipakai pasti kena gaya dan menjadi ikutan.

“Saya sendiri gemar menonton filem lakonan beliau kerana ingin melihat pemakaiannya. Dari situ saya mendapat idea menerusi potongan busana yang digayakan,” katanya.

Mengekalkan potongan klasik dengan gabungan moden, bagi Arma, rekaan kebaya dan peplum kelihatan anggun digayakan terutama apabila menggunakan material sesuai yang akan memperlihatkan gaya tersendiri.

“Untuk koleksi sedia dipakai kali ini saya me­nyediakan 12 helai busana bercirikan kebaya, kurung pesak gantung dan peplum dipadankan dengan kain kembang dan lipat depan. Bagi kelihatan moden, tambahan perincian manik pada baju memperlihatkan ciri moden dan anggun,” katanya.

Jelasnya, ciri klasik akan kelihatan lebih sempurna dengan gabungan material seperti kasa rubia, broked, songket dan sutera. Ini kerana semua fabrik ini mempunyai keunikan tersendiri baik dari segi corak, warna dan kualitinya.

“Untuk 12 rekaan sedia dipakai ini selain menggunakan fabrik terbabit, saya juga memilih kain net tulle dan linen yang memberikan kesan klasik apabila digayakan. Malah pemilihan fabrik yang tepat akan memberikan keindahan tersendiri,” katanya yang mengelak menggunakan fabrik moden terkini kerana lebih sesuai untuk busana perkahwinan moden.

Untuk warna pula mainan rona hijau, kuning keemasan, mustard, merah bata dan perak antara yang menjadi pilihan. Semua warna ini memberikan kesan segar serta klasik kepada pemakai.

Arma yang terkenal dengan rekaan busana pe­ngantin mengakui dia masih menghasilkan busana perkahwinan namun ingin mempelbagaikan rekaan sedia dipakai yang boleh digayakan ke majlis tertentu atau musim perayaan.

Bagi yang ingin membuat tempahan boleh melayari Instagram @armacouture atau Facebook armacouture dan warmaabdrahmanweddingcouture.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Februari 2017 @ 5:03 AM