Agensi

Chennai, India: Punca sakit kepala yang menyucuk seorang wanita mengejutkan doktor apabila mendapati seekor lipas hidup berjalan-jalan dalam rongga hidung antara dua mata wanita itu.

Pembantu rumah di Injambakkam d sini, Selvi, 42, berkata dia terjaga dari tidur Selasa lalu, kerana berasa ada sesuatu bergerak dalam lubang hidungnya menyebabkan gatal sebelum sakit kepala.

Dia menyangka terkena selsema namun apabila terasa ada sesuatu seperti bergerak dalam rongga hidungnya, dia mengesyaki ada serangga masuk lalu segera ke klinik.

Namun, menurutnya tiada siapa boleh berbuat apa-apa lalu keesokannya, pergi ke Hospital Kolej Perubatan Stanley milik kerajaan di Chennai dan doktor menemui ada serangga hidup dalam hidungnya.

Ketua Jabatan ENT (Telinga, Hidung dan Tekak) Dr M N Shankar berkata: “Ini kes pertama saya temui sepanjang tiga dekad menjadi doktor.”

Doktor yang menggunakan endoskop berjaya menemui haiwan dua sesungut dalam rongga hidung wanita itu.

“Ia lipas, berada dalam tengkorak antara dua mata, dekat dengan otak.

“Lipas itu masih hidup dan seperti enggan keluar dari rongga hidung pesakit,” kata Dr Shankar.

Menurutnya, ketika ditarik keluar, lipas itu menggunakan duri pada kakinya untuk melekat pada tisu dalam rongga hidung dan ia berjaya dikeluarkan selepas 45 minit.

Jika dibiarkan doktor percaya lipas itu akan mati namun ia akan menyebabkan jangkitan pada otak. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Februari 2017 @ 12:18 AM
Lipas yang ditemui dalam rongga hidung seorang wanita di India.