KANAK-kanak memang suka bermain air banjir.
SEORANG kanak-kanak bermain air banjir.
BANJIR yang melanda beberapa negeri di pantai timur.
Oleh Faizatul Farlin Farush Khan
ffarlin@hmetro.com.my

Banjir antara bencana alam yang amat digeruni kerana ia merosakkan banyak harta benda dan boleh menyebabkan kehilangan nyawa, bukan saja disebabkan risiko lemas tetapi juga penyakit bawaan air berpunca daripada pelbagai jenis bakteria.

Banjir yang kini dihadapi di beberapa negeri terutama kawasan pantai timur amat merunsingkan dan mengancam keselamatan serta tahap kesihatan penduduk.

Jika tidak berhati-hati atau mengambil mudah soal kebersihan diri dan kawasan sekitar, penduduk di kawasan banjir terdedah kepada risiko tinggi untuk mendapat demam kepialu (tifoid) atau taun serta penyakit bawaan air lain akibat bakteria di dalam air kotor.

Selain tifoid dan taun, antara penyakit bawaan air lain termasuk hepatitis A dan leptospirosis yang menyebabkan gejala seperti demam, lenguh badan, sakit kepala, sakit perut, muntah, cirit-birit dan demam kuning.

Jika tidak mendapatkan rawatan segera, ia boleh menyebabkan kematian akibat kegagalan organ dalaman seperti buah pinggang, hati, paru-paru atau jangkitan pada bahagian otak.

Biasanya kanak-kanak lebih mudah terdedah kepada risiko penyakit bawaan air kerana mereka gemar bermain air banjir dan kurang maklumat mengenai bahaya bah.

Pada pandangan mata kanak-kanak, semuanya menyeronokkan dan sifat ingin tahu yang kuat dalam hati mereka akan menyebabkan mereka mahu berada dekat dan bermain dalam air banjir.

Menurut Presiden Persatuan Pediatrik Asia Pasifik, Datuk Dr Zulkifli Ismail, ibu bapa di kawasan terjejas perlu sentiasa peka dan memberikan perhatian kepada anak-anak selain memastikan mereka menjauhkan diri sebaik mungkin daripada air banjir.

Ini kerana katanya, air banjir membawa pelbagai jenis bakteria dan boleh menjejaskan kesihatan kanak-kanak hingga ke tahap serius.

"Jangan sesekali membenarkan anak bermain air banjir, apatah lagi terjun dan berenang di dalamnya kerana ia penuh dengan bakteria yang boleh menyebabkan penyakit seperti taun dan demam kepialu.

"Ibu bapa juga perlu memastikan anak-anak mereka sentiasa berada dalam keadaan kering dan tidak basah disebabkan air banjir kerana ia juga boleh menyebabkan masalah kulit.

"Bahaya banjir bukan setakat penyakit bawaan air tetapi dibimbangi ia mempunyai aliran elektrik akibat kabel elektrik yang rosak dan ini boleh menyebabkan renjatan yang mampu membunuh," katanya.

Perunding pediatrik dan kardiologi itu berkata, ibu bapa juga perlu sentiasa memantau kedudukan anak mereka terutama yang masih kecil tetapi sudah boleh merangkak atau berjalan kerana dibimbangi mereka boleh terjatuh ke dalam air banjir dan lemas.

Sepanjang musim banjir juga, Dr Zulkifli menasihatkan ibu bapa memastikan anak-anak dan keluarga hanya makan makanan yang dimasak dan minum air mineral dibotolkan atau memasak sumber air mereka bagi mengelak jangkitan bakteria pembawa penyakit.

"Bagi yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara juga perlu menjaga makanan dan minuman kerana biasanya makanan dan minuman di kawasan bencana boleh terjejas akibat kehadiran bakteria akibat keadaan sekeliling yang dipenuhi air banjir.

"Sekiranya ada doktor di pusat pemindahan sementara, dinasihatkan bertemu segera untuk mendapat rawatan sebaik mungkin apabila diri mula menunjukkan tanda demam sebagai langkah berjaga-jaga.

"Kadangkala berlaku kes dehidrasi yang serius dan pesakit perlu dibawa keluar dari pusat pemindahan dengan segera dan mendapat rawatan terbaik di hospital bagi mengelak perkara tidak diingini," katanya.

Menurut Dr Zulkifli, apa yang penting ibu bapa perlu memastikan anak-anak mereka sentiasa kering dan diberi makan minum yang cukup daripada sumber yang dimasak.

Katanya, vaksin untuk tifoid dan taun boleh diberikan sekiranya bekalan ada bagi mengelakkan kanak-kanak terdedah kepada risiko penyakit itu yang boleh mengancam nyawa mereka.

Penyakit bawaan air

1. Demam kepialu (Tifoid)

Ia disebabkan jangkitan bakteria Salmonella typhi (S typhi) dan memasuki darah yang usus melalui makanan atau minuman tercemar.

Apabila seseorang dijangkiti tifoid, mereka akan mengalami ruam dan cirit-birit. Simptom awal tifoid adalah demam, rasa tidak bermaya dan sakit di bahagian abdomen.

Jika berlarutan, demam akan mencecah suhu tinggi sehingga 40 darjah Celsius dan mengalami ciri-birit kronik. Sesetengah orang akan mendapat ruam bintik merah kecil di bahagian abdomen dan dada.

Simptom lain adalah keresahan, najis berdarah, rasa sejuk, kekeliruan, sukar memberi perhatian, kecelaruan, perasaan bercampur-baur, halusinasi, pendarahan hidung, penat melampau dan rasa lemah tidak berdaya.

2. Taun

Taun adalah penyakit jangkitan bakteria Vibrio cholerae pada usus kecil dan menyebabkan cirit-birit yang teruk. Bakteria ini biasanya ditemui dalam air atau makanan tercemar oleh najis.

Kebersihan yang terjejas dan banjir boleh me­nyebabkan taun merebak dengan cepat melalui air tercemar.

Simptom taun ialah cirit-birit cair, muntah dan kejang kaki. Kehilangan air dengan pantas daripada tubuh boleh menyebabkan dehidrasi serius yang boleh menyebabkan kejutan atau renjatan pada tubuh.

Tanpa rawatan, pesakit boleh mati dalam tempoh beberapa jam. Sesiapa yang mendapat simptom taun perlu segera mendapatkan rawatan doktor.

3. Hepatitis A

Hati adalah organ terbesar dalam tubuh dan membantu pencernaan makanan, menyimpan tenaga dan menyingkirkan racun daripada tubuh.

Hepatitis membabitkan keadaan hati yang membengkak. Ia berpunca daripada virus hepatitis A yang disebabkan pengambilan makanan dan minuman tercemar apabila penyediaan makanan dilakukan oleh orang yang tidak menjaga kebersihan.

Ia juga boleh dijangkiti apabila anda minum air tidak dimasak atau makan makanan yang dicuci dengan air tercemar.

Biarpun ada yang tidak menunjukkan simptom tetapi sekiranya mengalami gejala selesema atau kulit bertukar kekuningan (tanda demam kuning), perlu segera bertemu doktor untuk menjalankan ujian dan rawatan.

Sentiasa cuci tangan dengan teliti sebelum menyediakan makanan, selepas menggunakan tandas atau selepas menukar lampin.

4. Leptospirosis

Leptospirosis adalah penyakit bawaan haiwan yang boleh menjangkiti manusia disebabkan bakteria spirochete. Ia boleh merebak kepada manusia apabila mereka terdedah kepada kuman dalam air yang dicemari kencing haiwan seperti tikus, lembu, kambing, khinzir dan anjing.

Antara simptom jangkitan itu ialah demam, lenguh badan, sakit kepala, muntah, cirit-birit dan demam kuning. Ia boleh membawa maut akibat kegagalan fungsi organ dalaman.

Cara jangkitannya apabila manusia tersentuh cecair badan haiwan yang mendapat leptospirosis seperti air kencing atau terkena tanah, air atau makan makanan yang tercemar dengan najis haiwan terbabit.

Bakteria leptospirosis boleh memasuki tubuh melalui kulit, mata, hidung atau mulut terutama sekiranya ada luka pada kulit. Minum air tercemar juga boleh meningkatkan risiko jangkitan.

Simptomnya termasuk demam suhu tinggi, sakit kepala, kesejukan, sakit otot, muntah, kekuningan pada kulit dan bahagian mata putih, mata kemerahan, sakit abdomen, ruam dan cirit-birit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Disember 2014 @ 5:05 AM