Liverpool: Adam Lallana mengemudi kemenangan terbesar Liverpool di gelanggang sendiri musim ini apabila dua gol pemain England itu membantu mereka membelasah Swansea 4-1, awal pagi semalam.

Pasukan kendalian Brendan Rodgers menjaringkan empat gol buat kali pertama sejak Mac lalu hasil dua gol Lallana pada babak kedua selepas Alberto Moreno meletakkan Reds di depan pada babak pertama di Anfield.

Gol sendiri bekas pemain Reds, Jonjo Shelvey melengkapkan penguasaan ke atas Swansea, yang seketika mengancam untuk bangkit apabila Gylfi Sigurdsson menjaringkan gol bagi merapatkan defisit kepada 2-1.

Berikutan kemenangan besar itu, tuan rumah melonjak mengatasi Swansea ke tangga kelapan, lima mata di belakang pasukan tangga keempat Southampton dalam perebutan tiket ke Liga Juara-Juara.

Dengan satu kekalahan dalam 10 perlawanan terakhir bagi semua pertandingan dan Lallana akhirnya mempamerkan kehebatan yang menyebabkan Rodgers membayar £25 juta (RM136 juta) bagi mengikatnya dari Southampton, Liverpool berdepan tahun baru dengan keyakinan baru boleh menyelamatkan kempen tidak menentu kali ini.

“Ia satu persembahan hebat menentang pasukan yang amat bagus. Saya berasa kami mendominasi sebahagian besar perlawanan,” jelas Rodgers.

“Bagi saya ia mengenai kembali semula bermain dengan bagus. Malam ini kami amat cemerlang. Kami perlu mengekalkan momentum dan tahap kerja keras ini.

“Kami sedar kerja keras yang perlu dilakukan tapi pemain kini mula bekerjasama. Kami pasukan muda yang dilihat mula serasi dan bermain bola sepak yang kreatif dan menarik.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Disember 2014 @ 5:05 AM