Adam memberikan taklimat pergerakan SAR hari ketujuh bot pelancong karam di Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Kota Kinabalu. FOTO Izhari Ariffin
Norasikin Daineh
norasikin_daineh@hmetro.com.my


Kota Kinabalu: Satu objek putih dikesan terapung di perairan Labuan ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) enam mangsa hilang dalam kejadian bot karam, 2.14 petang tadi.

Bagaimanapun, Pengarah Maritim Daerah Kota Kinabalu Laksamana Pertama Maritim Adam Aziz berkata, objek itu belum ditemui lagi sehingga kini.

"Objek berwarna putih itu dikesan terapung oleh pesawat Charlie 130 di 17 batu nautika utara Labuan dan 42 batu nautika barat daya dari lokasi kejadian perairan Pulau Mengalum.

"Sehubungan itu, Kapal Maritim (KM) Mabul dihantar ke lokasi namun sehingga kini objek itu masih belum ditemui," katanya ketika ditemui di Pusat Gerakan Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), di sini, hari ini.

Katanya, pencarian diteruskan untuk mengesan objek terbabit bagaimanapun keadaan cuaca pada petang ini kurang baik menyukarkan operasi SAR.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Februari 2017 @ 5:14 PM