Ahli keluarga melihat keadaan kenderaan yang mengorbankan Anuar dan Noriah dalam kemalangan di Kampung Wakaf Tok Wali, Peringat. FOTO Fathil Asri
Muhamaad Razis Ismail
razis@hmetro.com.my


Kota Bharu: Suami isteri maut selepas Toyota Isis yang dinaiki terbabas sebelum merempuh kereta yang datang dari arah bertentangan di Jalan Kota Bharu-Pasir Puteh, Kampung Wakaf Tok Wali, di sini, tengah hari tadi.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, Anuar Yahya, 55, dan Noriah Ismail, 52, maut di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan.

Mayat dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk bedah siasat.

Difahamkan ketika kejadian, tayar kenderaan mangsa pecah sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan merempuh Proton Iswara Aeroback.

Pemandu dan empat penumpang Proton Iswara Aeroback yang masih belum dikenal pasti identiti bagaimanapun cedera ringan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu Superintendan Setapa Yusoff ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Februari 2017 @ 4:43 PM