TIDAK banyak perubahan dalam skuad Dhaarma yang beraksi di Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia bulan lalu.
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Ketua jurulatih skuad hoki wanita negara Muhammad Dhaarma Raj Abdullah mungkin tidak melakukan rombakan besar menjelang Siri Jelajah Eropah yang dirancang April ini.

Bagaimanapun, pengendali berusia 46 tahun itu menegaskan, rombakan mungkin dilakukan sekiranya beliau berminat dengan beberapa bakat baru yang beraksi pada saingan Liga Hoki Wanita Malaysia, bermula semalam.

Justeru, beliau berharap kesemua barisan pemain negara yang beraksi di Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia bulan lalu, mempamerkan prestasi konsisten bagi membolehkannya terus meletakkan kepercayaan kepada mereka.

“Di Malaysia tidak ramai pemain wanita yang cukup berbakat beraksi di pentas antarabangsa. Jadi untuk saya tidak mungkin ada rombakan besar.

“Kalau berlaku pun, mungkin paling maksimum antara dua hingga tiga pertukaran saja. Apapun, saya masih memantau perjalanan liga,” katanya.

Jelas Dhaarma, sekiranya berlaku rombakan, keutamaan akan diberikan kepada lima pemain yang digugurkan sebelum bermulanya saingan Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia.

“Kelima-lima pemain yang tidak terpilih dalam 18 pemain terbaik ketika itu mempunyai peluang lebih besar untuk terpilih,” katanya.

Susulan kejayaan mara buat kali pertama ke Separuh Akhir Liga Hoki Dunia menerusi pusingan kedua bulan lalu, Dhaarma bercadang membawa barisan pemainnya mengadakan perlawanan persahabatan bersama skuad kebangsaan di sekitar Eropah.

Misi utama Dhaarma adalah supaya barisan pemainnya memperoleh perlawanan kompetitif sekali gus mampu memberi saingan di Separuh Akhir Liga Hoki Dunia yang juga kejohanan untuk mencari tiket ke Piala dunia 2018 di London.

Sehingga kini, Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) belum membuat sebarang keputusan negara mana yang akan ditemui skuad negara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Februari 2017 @ 11:22 AM