Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my

Putrajaya: Mulai 1 Februari lalu, semua taman awam kecuali kawasan letak kenderaan terbuka dan Taman Negara diwartakan sebagai tempat dilarang merokok.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, berikutan pewartaan itu, semua kawasan di taman awam adalah dilarang merokok kecuali tempat letak kereta terbuka.

Sementara,bagi Taman Negara dan Taman Negeri, tiga tempat utama yang menjadi tumpuan orang awam iaitu menara cerapan, tapak perkhemahan, titian kanopi dan jarak lima meter dari laluan masuk atau keluar titian kanopi adalah dilarang merokok.

"Perluasan kawasan dan tempat dilarang merokok bertujuan mengekang aktiviti merokok di tempat awam supaya budaya ini tidak diterima oleh masyakarat.

"Bagi mereka yang melakukan kesalahan ini mereka akan didenda sebanyak RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun,"katanya.

Dr Noor Hisham berkata, selaras dengan pewartaan ini, Peraturan 21 Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) iaitu peruntukan bagi hentian pengangkutan awam tidak berhawa dingin, tempat makan berhawa dingin dan stadium terbuka dengan keluasan satu pertiga kawasan merokok adalah dimansuhkan.

"Ini bermakna semua restoran berhawa dingin adalah seratus peratus kawasan bebas rokok.

"Penambahan kawasan larangan merokok di bawah Peraturan 11 dan pemansuhan Peraturan 21 PPKHT 2004 bertujuanmelindungi golongan bukan perokok dari bahaya asap rokok atau lain-lain produk merokok"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Februari 2017 @ 11:12 AM