KAKITANGAN Jabatan Perikanan Johor memeriksa bangkai ikan lumba-lumba yang ditemui terdampar. FOTO Togi Marzuki
Togi Marzuki

Pontian: Penduduk menjumpai bangkai ikan lumba-lumba terdampar di Pontian Kecil di sini, hari ini.

Ikan sepanjang dua meter dan seberat 120 kilogram itu ditemui orang ramai pada 4.30 petang sebelum Pejabat Perikanan Johor dihubungi untuk tindakan lanjut.

Ketua Pangkalan Utama Jabatan Perikanan Tampoi, Baharin Kassim berkata, bertindak atas maklumat orang awam kakitangan Pejabat Perlindungan Sumber Tampoi bergegas ke lokasi dan mengambil bangkai berkenaan.

"Kami dapati ikan lumba-lumba itu tersenarai dalam Akta Perikanan 1985 sebagai spesis marin terancam dan ia kini disimpan di dalam peti sejuk beku FRI di Gelang Patah.

"Kami akan melakukan bedah siasat bagi mengenal pasti punca ia mati dan terdampar di pantai berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Februari 2017 @ 10:18 PM