Masjid Pusat Islam Victoria, Texas, yang terbakar Ahad lalu.
Agensi

Victoria, Texas: Sumbangan hampir AS$1 juta (RM4.43 juta) diterima Pusat Islam Victoria daripada pelbagai pihak termasuk individu dan pertubuhan bukan Islam dalam masa dua hari selepas masjid di pusat berkenaan terbakar, Ahad lalu.

Media menganggap ia sebagai ‘semangat Amerika sebenar’ kerana penduduk setempat tanpa mengira kaum dan agama bekerjasama membantu, sama ada memberi semangat, simpati atau sumbangan kewangan bagi membolehkan pusat berkenaan dibina semula.

Menurut Daily Mail, kebakaran itu berlaku beberapa jam selepas Presiden Donald Trump menandatangani sekatan sementara perjalanan pemegang pasport tujuh negara Islam memasuki Amerika yang dianggap banyak pihak sebagai diskriminasi serta kebencian terhadap masyarakat Islam.

Keadaan Masjid Pusat Islam Victoria, Texas, yang akan diroboh untuk dibina semula.

Dalam masa dua hari, pusat itu menerima derma daripada 12,836 penyumbang pelbagai kaum dan agama untuk membina semula pusat berkenaan yang kosnya dianggarkan AS$850,000 (RM3.8 juta).

Dalam kenyataan melalui Facebook, Pusat Islam Victoria berkata: “Hari ini adalah hari yang amat indah apabila kita bersama-sama sebagai satu masyarakat berkongsi kasih sayang antara satu sama lain. Pemimpin pelbagai ugama memberi sokongan dan kami amat menghargai kebaikan anda.

“Terima kasih dari lubuk hati kami. Inilah Semangat Amerika yang sebenar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Februari 2017 @ 7:13 PM