Ramesh bersama anggotanya membuat pemeriksaan di Pasar Awam Tanjung pagi tadi. FOTO ihsan KPDNKK
Faliq Lajim
am@hmetro.com.my


Kuala Selangor: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) daerah ini mengeluarkan kompaun kepada lima peniaga selepas melakukan kesalahan dalam satu operasi sempena Tahun Baru Cina di Pasar Awam Tanjung, dekat sini, pagi tadi.

Operasi 9 hingga 11.30 pagi itu membabitkan 12 anggota dan pegawai KPDNKK Kuala Selangor.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK Daerah Kuala Selangor K Ramesh berkata, dalam operasi itu pihaknya mengesan pelbagai kesalahan yang dilakukan peniaga.

"Antaranya menjual melebihi skim kawalan harga Tahun Baru Cina 2017, tidak meletakkan tanda harga dan menggunakan alat timbang yang tidak ditentusahkan.

"Semua peniaga itu dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011, Akta Timbang dan Sukat 1972, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 dan Akta Perintah 3(1) Kawalan Harga (Penandaan Harga Oleh Penjual Runcit) 1993," katanya.

Menurutnya, pihaknya sudah mengeluarkan kompaun RM2,500 sejak Skim Kawalan Harga dilaksanakan 23 Januari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Februari 2017 @ 6:42 PM