RAKAN dan keluarga John Jezreel David, 21, yang ditembak mati dalam operasi anti dadah polis, mengiringi kerandanya ketika upacara pengebumiannya di Metro, Manila, semalam. - Reuters

Manila: Kementerian pertahanan Filipina semalam meminta Presiden Rodrigo Duterte mengeluarkan satu arahan rasmi kepada tentera untuk menyertai operasi antidadah termasuk memberi kuasa kepada askar untuk menangkap anggota polis yang terbabit dengan jenayah.

Duterte dalam satu ucapan di hadapan jeneral tentera kelmarin berkata, dia mahu meminta bantuan pasukan itu dalam memerangi kegiatan dadah dan menangkap anggota polis yang korup.

Kementerian pertahanan dalam satu kenyataan semalam meminta Duterte menjadikan ucapannya itu satu arahan rasmi.

“Kementerian mahu satu arahan rasmi berkaitan permintaan ini sebagai asas perundangan yang perlu dipatuhi tentera.

“Arahan lisan presiden untuk menangkap anggota polis yang terbabit dengan jenayah juga perlu disertakan dengan arahan rasmi,” menurut kenyataan itu.

Ketua polis Filipina sebelum ini menggantung operasi narkotik dan membubarkan semua unit antidadah selepas terdapat anggotanya menggunakan serbuan itu untuk menculik sebelum membunuh ahli perniagaan Korea Selatan.

Duterte yang berang dengan kejadian berkenaan turut menyelar pasukan polis negara itu yang dianggapnya paling korup.

Kempen memerangi dadah yang diisytiharkan Duterte kini diketuai Agensi Penguatkuasaan Dadah Filipina. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Februari 2017 @ 6:37 AM