Sebahagian waris mendaftar untuk menerima bantuan awal sekolah disampaikan Lembaga Zakat Negeri Kedah di Masjid Aishah Kampung Sungai Menghulu, Langkawi, hari ini. FOTO Hamzah Osman
Hamzah Osman
am@hmetro.com.my


Langkawi: Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) menerima zakat perniagaan berjumlah RM80 juta tahun lalu hasil kesedaran dan sikap prihatin usahawan Islam yang beroperasi di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Datuk Syeikh Ghazali Yaacob berkata, sepanjang tahun lalu pihaknya merekodkan kutipan zakat RM145 juta dan RM80 juta daripadanya adalah zakat perniagaan.

"Peningkatan zakat perniagaan ini dibantu oleh usaha kakitangan Unit Dakwah LZNK yang bergerak setiap minggu mengunjungi pusat perniagaan untuk mempromosi kewajipan umat Islam membayar zakat.

"Selain itu, kaedah pembayaran zakat perniagaan yang dipermudahkan termasuk boleh dibuat menerusi bank turut membantu," katanya selepas mengagihkan bantuan awal sekolah dan guru agama kepada 723 penerima di Masjid Aishah Kampung Sungai Menghulu di sini, sebentar tadi.

Hadir sama Pengurus LZNK cawangan Langkawi, Burhanuddin Ahmad dan Imam Masjid Aishah Kampung Sungai Menghulu, Othman Yahaya.

Pada majlis itu, sebanyak RM200,000 diagihkan kepada 500 penerima bantuan awal sekolah, manakala RM112,800 untuk 223 guru agama sekitar daerah Langkawi.

Syeikh Ghazali berkata, pihaknya yakin penyampaian bantuan kepada penerima membabitkan 12 daerah di Kedah yang bermula di Daerah Kubang Pasu minggu lalu dijangka selesai sepenuhnya pada akhir bulan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Februari 2017 @ 1:23 PM